DUNIA > BERITA

Lebih 21,000 Pelajar, Staf Pendidikan Palestin Terkorban Sejak 7 Okt 2023

10/06/2026 08:46 AM

RAMALLAH, 9 Jun (Bernama-WAFA) -- Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin mengumumkan jumlah pelajar dan kakitangan pendidikan yang terkorban sejak 7 Oktober 2023 kini meningkat kepada 21,701 orang di seluruh Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Menurut data kementerian itu yang dikeluarkan pada Selasa, angka korban berkenaan merangkumi 20,647 pelajar serta 1,054 guru dan staf pendidikan ekoran serangan berterusan oleh Israel yang menyasarkan hak untuk mendapat pendidikan.

Menurut kementerian itu, lebih 179 sekolah kerajaan di seluruh Semenanjung Gaza musnah sepenuhnya, manakala lebih 105 sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menjadi sasaran bedilan sehingga mengalami kerosakan teruk serta kemusnahan.

Ia berkata lebih 63 bangunan universiti turut musnah sepenuhnya.

Di Tebing Barat, sembilan universiti dan kolej menjadi sasaran serbuan serta vandalisme yang berulang, selain serangan berterusan ke atas beberapa buah sekolah dan tindakan peneroka haram yang menyasarkan golongan pelajar.

Berdasarkan data berkenaan, seramai 128 pelajar sekolah dan 39 mahasiswa universiti terkorban di Tebing Barat.

Selain itu, seramai 861 pelajar sekolah dan lebih 278 mahasiswa universiti cedera, manakala 421 pelajar sekolah dan lebih 487 mahasiswa universiti ditahan.

Di Semenanjung Gaza pula, lebih 19,101 pelajar sekolah dan 1,379 mahasiswa universiti terkorban, manakala lebih 28,419 pelajar sekolah dan 3,017 mahasiswa universiti mengalami kecederaan.

Kakitangan pendidikan turut mengalami kesan teruk akibat konflik berkenaan.

Di Tebing Barat, enam kakitangan sekolah terkorban dan 25 lagi cedera, manakala lebih 171 yang lain ditahan.

Sementara itu di Semenanjung Gaza, seramai 802 kakitangan sekolah dan 246 kakitangan universiti terkorban, manakala 3,291 kakitangan sekolah serta lebih 1,493 kakitangan universiti dilaporkan cedera.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan