DUNIA > BERITA

OpenAi Failkan Permohonan Secara Sulit Bagi Potensi Penyenaraian Di Pasaran Saham

09/06/2026 04:19 PM

SAN JOSE (California), 9 Jun (Bernama-dpa) -- OpenAI, syarikat pengeluar ChatGPT, menjadi syarikat teknologi terbaharu di Amerika Syarikat yang bergerak ke arah potensi penyenaraian besar di pasaran saham, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Syarikat itu pada Isnin memfailkan secara sulit bagi tawaran awam permulaan (IPO), melengkapkan kelompok tiga penyenaraian mega yang dijangka melibatkan firma teknologi utama.

Seperti pesaingnya, Anthropic, butiran pemfailan itu masih dirahsiakan buat masa ini. OpenAI turut menegaskan bahawa penyenaraian itu mungkin masih mengambil masa kerana terdapat kelebihan perniagaan jika syarikat kekal sebagai entiti persendirian.

Syarikat angkasa milik Elon Musk, SpaceX dijangka membuat penampilan sulung di pasaran saham seawal Jumaat, dengan sasaran penilaian hampir US$1.8 trilion sejak permulaan.

Dengan hasil dijangka sekitar US$75 bilion, ia bakal menjadi IPO terbesar dalam sejarah. Penilaian yang disasarkan itu dilihat luar biasa tinggi memandangkan SpaceX menjana pendapatan kurang daripada US$19 bilion tahun lepas dan mengalami kerugian. Bagaimanapun, syarikat itu menekankan potensi pertumbuhan masa depan.

Anthropic baru-baru ini menyelesaikan pusingan pendanaan yang menilai syarikat itu pada US$900 bilion, manakala OpenAI dinilai sedikit lebih rendah dalam pusingan pendanaan terbaharunya.

Syarikat pengeluar ChatGPT itu mempunyai rancangan bercita-cita tinggi untuk melabur ratusan bilion dolar dalam pusat data, dan hasil daripada IPO berpotensi membantu membiayai rancangan berkenaan.

Namun, seperti syarikat lain dalam sektor itu, masih terdapat keraguan besar sama ada jumlah pelaburan besar dalam infrastruktur AI itu akhirnya dapat dipulangkan.

Penyenaraian AI yang dijangka itu juga bakal menguji minat pelabur untuk terus menyokong sektor berkenaan.

-- BERNAMA-dpa

 

TAG: Amerika Syarikat, OpenAI, tawaran awam permulaan


RAG KLS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan