DUNIA > BERITA

Ketua Perunding Baharu Thailand Yakin Malaysia Mampu Percepat Proses Damai Selatan Thailand

08/06/2026 11:49 AM

Oleh Tuwaedaniya Meringing

PATTANI, 8 Jun (Bernama) -- Ketua perunding baharu Thailand bagi Dialog Damai Selatan Thailand, Thanat Suwannanont yakin Malaysia sebagai fasilitator mampu membantu mempercepat usaha menamatkan konflik yang berlarutan di wilayah selatan negara itu.

Thanat berkata beliau bersama pasukannya mengadakan lawatan kerja ke Pattani, Yala dan Narathiwat sejak Sabtu lalu bagi mendapatkan pandangan serta mengumpulkan cadangan daripada penduduk tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pemimpin masyarakat berhubung situasi semasa di wilayah berkenaan.

Beliau berkata segala pandangan dan cadangan yang diterima akan dibawa ke sesi rundingan pertama yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Jun ini.

"Saya turun padang untuk memahami kehendak dan keperluan penduduk tempatan. Mereka berharap pandangan serta cadangan yang dikemukakan dapat dibawa ke meja rundingan di Malaysia bagi membantu menamatkan konflik yang berpanjangan.

"Malaysia mempunyai peranan penting sebagai fasilitator dalam proses dialog damai kali ini.

“Saya yakin kemampuan dan pengalaman Malaysia akan membawa natijah positif kepada usaha memperkukuh proses rundingan serta mencari penyelesaian yang berkekalan," katanya kepada Bernama selepas mengakhiri lawatan kerjanya di Pattani.

Pada 14 Mei lalu, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul melantik Thanat, yang juga Pengarah Agensi Risikan Negara (NIA), sebagai ketua perunding baharu Thailand bagi dialog damai dengan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Pelantikan itu turut menyaksikan Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan oleh kerajaan Thailand untuk meneruskan peranannya sebagai fasilitator dalam proses dialog damai berkenaan.

Fasilitator Malaysia ialah Datuk Mohd Rabin Basir, bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, yang dilantik pada 1 Julai 2024.

Sementara itu, 47 NGO dan CSO di selatan Thailand turut menaruh harapan agar Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu menjayakan rundingan itu.

Pengerusi Dewan Masyarakat Madani Selatan Thailand, Lamai Manakan berkata Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai fasilitator, malah berupaya bertindak sebagai pengantara bagi membantu merapatkan perbezaan pendirian antara pihak yang terlibat dalam rundingan.

"Kami amat berharap Malaysia dapat membantu Thailand menamatkan keganasan yang berlarutan sejak 2004. Malaysia mempunyai pengalaman, hubungan baik dengan semua pihak serta kemampuan untuk membantu merungkai isu-isu yang masih menjadi halangan kepada proses damai," katanya.

Beliau turut berharap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memberi kepercayaan kepada fasilitator untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara bebas dan profesional.

Proses dialog damai Selatan Thailand tertangguh sejak Disember 2025 susulan peletakan jawatan Anutin sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi pilihan raya umum Thailand pada 8 Februari 2026.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh 47 NGO dan CSO kepada ketua perunding baharu Thailand ialah supaya kedua-dua pihak yang bertelagah menghentikan segala bentuk keganasan terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, serta memastikan semua kumpulan berkepentingan di selatan Thailand dilibatkan dalam proses damai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan