BERLIN, 5 Jun (Bernama-dpa) -- Majalah perniagaan Forbes menganggarkan bintang pop Amerika Syarikat (AS) Taylor Swift kini menjadi pemuzik terkaya dalam sejarah dengan nilai kekayaan mencecah US$2 bilion, meningkat 100 peratus berbanding 2024, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Swift, 36, penyanyi di sebalik lagu popular seperti Shake It Off, mencapai status bilionair pada 2024 hasil jelajah konsert Eras Tour.
Forbes menyifatkan Swift sebagai antara penulis lagu paling berjaya secara komersial sepanjang zaman.
Pada 2020, Swift mengubah industri muzik apabila beliau merakam semula sebahagian besar katalog muziknya. Langkah itu membolehkan royalti disalurkan terus kepadanya.
Forbes turut memaklumkan jelajah konsert Swift menjadi jelajah konsert dengan kutipan tertinggi dalam sejarah, menjana pendapatan sebanyak US$2.2 bilion. Hasil kutipan itu membolehkan beliau membeli semula rakaman induk asal miliknya, menurut majalah berkenaan.
Pada awal kerjayanya, Swift menandatangani kontrak dengan label Big Machine dan menghasilkan enam album pertamanya di bawah syarikat rakaman itu.
Seperti kebiasaan dalam industri muzik, hak pemilikan rakaman asal album berkenaan adalah milik syarikat rakaman itu, yang kemudian menjualnya pada 2019 dengan nilai melebihi US$300 juta kepada syarikat pemegangan milik bekas pengurus muzik, Scooter Braun.
Swift berkata perkara itu berlaku tanpa rundingan atau persetujuannya.
Keadaan itu mencetuskan pertikaian terbuka yang berlarutan selama beberapa tahun dan sering dizahirkan Swift menerusi lagu-lagunya.
Pada 2020, Braun menjual hak berkenaan kepada firma pelaburan Shamrock Capital di Los Angeles, yang kemudiannya dibeli semula oleh Swift.
Pada 2025, Swift mengumumkan beliau berjaya memperoleh semula hak ke atas enam album pertamanya.
Senarai bilionair Forbes kebanyakannya disusun berdasarkan maklumat awam mengenai aset seperti saham, hartanah, karya seni dan barangan mewah lain. Angka itu dianggap tidak tepat dan kadangkala dipertikaikan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial