SEOUL, 5 Jun (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung akan mengadakan lawatan ke Eropah bulan ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik seorang pegawai kanan presiden pada Jumaat.
Lawatan Lee akan berlangsung dari Selasa hingga 18 Jun ini dan merangkumi kunjungan ke Belgium, Itali dan Vatican, menurut Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung-lac.
Kehadiran Lee ke Sidang Kemuncak G7 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Jun adalah atas jemputan kumpulan berkenaan, kata Wi dalam satu sidang media.
Bagi destinasi pertama lawatan itu, Lee akan melawat Brussels dari Selasa hingga Rabu dan mengadakan sidang kemuncak secara berasingan dengan pemimpin Belgium serta Kesatuan Eropah (EU), kata penasihat keselamatan itu.
Dari Jumaat depan hingga Sabtu, Lee akan mengadakan lawatan negara ke Itali atas undangan Presiden Sergio Mattarella serta mengadakan sidang kemuncak dengannya, diikuti dengan perbincangan bersama Perdana Menteri Giorgia Meloni.
Bagi destinasi ketiga lawatan itu, Lee akan melawat Vatican dari 14 hingga 15 Jun dan bertemu dengan Paus Leo XIV sebelum menghadiri Sidang Kemuncak G7 dari 16 hingga 17 Jun, menurut pegawai presiden berkenaan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial