Oleh Noor Azuki Fahme Ismail
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Arab Saudi memanfaatkan peranannya sebagai Tetamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2026 untuk mempamerkan kekayaan warisan budaya dan industri kreatifnya kepada khalayak Malaysia dan serantau.
Menerusi pavilion komprehensif yang menampilkan kesusasteraan, kesenian, warisan dan pengalaman budaya interaktif, Kerajaan Arab Saudi bertujuan memperdalam pertukaran budaya dengan Malaysia sambil menawarkan pengunjung gambaran tentang kepelbagaian tradisi dan pencapaian budaya kontemporarinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Kesusasteraan, Penerbitan dan Terjemahan Saudi Dr Abdullatif Abdulaziz Al Wasel berkata pemilihan Arab Saudi sebagai Tetamu Kehormat mencerminkan hubungan budaya yang kukuh antara negara itu dan Malaysia.
“Penyertaan ini memberikan peluang luar biasa untuk memperkenalkan khalayak Malaysia dan Asia kepada kekayaan dan kepelbagaian budaya Arab Saudi di samping mengukuhkan hubungan budaya antara kedua-dua negara," katanya kepada media di sini pada Sabtu.
Beliau menambah acara itu juga mengesahkan komitmen Arab Saudi untuk mempromosikan warisan budayanya dan mengembangkan penglibatan budaya antarabangsa.
Pavilion berkenaan menampilkan pelbagai tarikan, termasuk perbincangan dan sesi puisi yang diketuai penulis dan cendiakawan Saudi, persembahan seni tradisional, pameran manuskrip dan penerbitan Saudi, serta paparan replika artifak arkeologi, kraftangan, fesyen, muzik dan filem.
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman Saudi Majlis tradisional, simbol keramahan dan perhimpunan sosial yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO, di samping demonstrasi secara langsung oleh tukang dan pameran pakaian tradisional dan alat muzik dari seluruh negara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial