Daripada Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meneroka peluang kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Thailand bagi membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata KUSKOP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha memperkasakan PMKS agar mereka dapat mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih luas.
“Kita menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk dana pembiayaan, geran, latihan dan bimbingan bagi membantu PMKS berkembang maju.
“Kini, kita sedang merangka peluang untuk memperluas kerjasama dengan negara jiran, khususnya Thailand,” katanya kepada Bernama selepas mengakhiri misi perdagangan lima hari ke Thailand pada Jumaat.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Penasihat Kanan kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand Weerasak Khowsurat yang juga Menteri Perdagangan.
Mohamad berkata kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperkukuh pembangunan PMKS, khususnya dalam sektor perdagangan sempadan Malaysia-Thailand.
“Kita mahu memperkasakan perdagangan sempadan antara Thailand dan Malaysia. Perdagangan sempadan antara kedua-dua negara sememangnya berada pada tahap yang baik, namun kita mahu penglibatan PMKS diberi perhatian yang lebih serius,” katanya.
Dalam rangka misi perdagangan itu, Mohamad yang diiringi pegawai kanan kerajaan daripada KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan SME Bank mengadakan lawatan ke pameran THAIFEX-Anuga Asia 2026, iaitu pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) terbesar dan paling komprehensif di Asia, selain merasmikan Pavilion Malaysia.
Mohamad berkata THAIFEX-Anuga merupakan platform penting bagi syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor F&B, untuk memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa.
Beliau berharap kesemua 158 syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu, antara delegasi terbesar pada acara berkenaan, mampu meraih potensi jualan sebanyak RM60 juta.
“Kami berbangga menyaksikan penyertaan 158 syarikat Malaysia di bawah beberapa delegasi termasuk KUSKOP, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah serta Malaysian Business Group.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya lawatan saya kali ini amat berjaya. Saya berharap sasaran jualan keseluruhan syarikat Malaysia di THAIFEX-Anuga akan tercapai menjelang akhir pameran ini,” katanya.
Delegasi yang diketuai Mohamad turut mengadakan perbincangan dengan wakil The Thai Chamber of Commerce (TCC), selain mengadakan lawatan ke True Digital Park dan Pusat Kemajuan Masyarakat One Tambon One Product (OTOP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial