DUNIA > BERITA

China Percaya Perjanjian Tamatkan Perang Iran Akan Dikemukakan Kepada UNSC Untuk Pengesahan

27/05/2026 08:45 AM

WASHINGTON, 27 Mei (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar China Wang Yi pada Selasa berkata Beijing percaya perjanjian bagi menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB untuk pengesahan.

Pegawai di AS dan beberapa negara lain dilaporkan berhati-hati namun optimis terhadap perkembangan yang dicapai ke arah memuktamadkan perjanjian itu, manakala Wang berkata Beijing berharap pihak yang terlibat akan terus komited dalam usaha mencapai gencatan senjata serta terus mencari titik persamaan agar keamanan dapat kembali ke Asia Barat secepat mungkin, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami percaya sebaik sahaja perjanjian dicapai, ia akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB untuk pengesahan bagi memastikan ia mempunyai legitimasi dan autoriti," katanya dalam ucapan yang diterjemahkan daripada bahasa Mandarin di ibu pejabat PBB di New York.

China kini mempengerusikan Majlis Keselamatan PBB bagi Mei dan Wang menegaskan bahawa badan yang bertanggungjawab memastikan keamanan serta keselamatan antarabangsa itu "mesti tampil ke hadapan", dan Majlis Keselamatan perlu memikul tanggungjawabnya.

Ketegangan di rantau itu meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari. 

Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz, laluan perairan penting.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan sebelum dilanjutkan tanpa had oleh Presiden AS Donald Trump.

Trump pada Sabtu berkata perjanjian dengan Iran bagi menamatkan perang itu "sebahagian besarnya telah dirundingkan" dan hanya menunggu dimuktamadkan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan