DUNIA > BERITA

AS Tolak Tol Selat Hormuz, Ikrar Dapatkan Uranium Dari Iran

22/05/2026 01:07 PM

WASHINGTON, 22 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Donald Trump pada Khamis berkata Amerika Syarikat (AS) menentang sebarang bayaran ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz dan berikrar Iran tidak akan dibenarkan menyimpan uranium yang diperkaya tinggi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami tidak mahu tol. Ia laluan perairan antarabangsa. Mereka tidak mengenakan tol buat masa ini,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

Trump mendakwa Iran mengalami kerugian kewangan besar akibat sekatan terhadap aktiviti perkapalan.

Ditanya sama ada Iran boleh mengekalkan simpanan uranium diperkaya tinggi di bawah sebarang aturan pada masa depan, Trump menjawab dengan tegas.

“Tidak, kami akan mendapatkan uranium diperkaya tinggi itu; kami akan mendapatkannya. Kami tidak memerlukannya. Kami tidak mahukannya. Kami mungkin akan memusnahkannya selepas mendapatkannya, tetapi kami tidak akan membenarkan mereka memilikinya,” kata Trump.

Beliau mengulangi bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memiliki senjata nuklear.

“Pada masa ini, kami sedang berunding dan kita akan lihat, tetapi kami akan mendapatkannya dengan satu cara atau cara lain. Mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” katanya.

Trump berkata AS sedang memantau laporan rundingan antara Iran dan Oman berhubung kemungkinan tol di Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa tentera AS mempunyai kawalan penuh terhadap trafik maritim di laluan strategik itu.

Ditanya sama ada boleh diterima jika Iran berunding dengan Oman untuk merasmikan caj tol bagi kapal yang melalui Selat Hormuz, Trump berkata: “Kami sedang menelitinya; kami mendengar mengenainya.”

Trump kemudian mendakwa AS menguatkuasakan sekatan berkesan di rantau itu.

“Kami mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, seperti yang anda tahu, melalui sekatan kami.

“Sekatan itu 100 peratus berkesan. Tiada siapa dapat melaluinya. Ia seperti tembok besi,” kata Trump.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan