HAMILTON (Kanada), 12 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijadual melawat China minggu ini dengan diiringi 17 eksekutif korporat terkemuka daripada syarikat utama Amerika, menurut seorang pegawai Rumah Putih pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Trump dijadual berlepas dari Washington pada Selasa dan dijangka bertemu Presiden China Xi Jinping pada akhir minggu ini semasa lawatannya ke Beijing.
Pegawai Rumah Putih dalam satu kenyataan mengesahkan delegasi itu akan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook, serta ketua Tesla dan SpaceX Elon Musk, selain eksekutif kanan daripada BlackRock, Blackstone, Boeing, Cargill, Citi, Cisco, Coherent, General Electric (GE) Aerospace, Goldman Sachs, Illumina, Mastercard, Meta, Micron, Qualcomm dan Visa.
Senarai Rumah Putih itu mengenal pasti eksekutif yang menyertai lawatan berkenaan sebagai Larry Fink dari BlackRock, Stephen Schwarzman dari Blackstone, Kelly Ortberg dari Boeing, Brian Sikes dari Cargill, Jane Fraser dari Citi, Chuck Robbins dari Cisco, Jim Anderson dari Coherent, H. Lawrence Culp dari GE Aerospace, David Solomon dari Goldman Sachs, Jacob Thaysen dari Illumina, Michael Miebach dari Mastercard, Dina Powell McCormick dari Meta, Sanjay Mehrotra dari Micron, Cristiano Amon dari Qualcomm dan Ryan McInerney dari Visa.
Robbins dari Cisco sebelum ini dilaporkan menarik diri daripada delegasi itu, namun kenyataan terbaharu mengesahkan beliau akan turut serta dalam lawatan berkenaan.
Sebelum ini, beberapa pegawai Amerika Syarikat menyatakan Trump mahu meneroka rangka kerja baharu bagi hubungan ekonomi dengan China, termasuk kemungkinan penubuhan lembaga pelaburan dan potensi perdagangan yang bertujuan memperkukuh kerjasama berstruktur antara kedua-dua ekonomi.
Lawatan itu berlangsung ketika Washington berusaha menstabilkan hubungan ekonomi dengan Beijing, sambil mengekalkan persaingan dalam sektor strategik.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial