DUNIA > BERITA

Perjanjian Damai: Tuntutan Iran Munasabah Dan Bertanggungjawab - Kementerian Luar Iran

11/05/2026 09:45 PM

TEHRAN, 11 Mei (Bernama-IRNA) -- Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei berkata cadangan Iran yang disampaikan kepada Amerika Syarikat (AS) menerusi Pakistan mengandungi tuntutan munasabah dan cadangan yang ‘murah hati’ yang bermanfaat bukan sahaja untuk Iran tetapi juga untuk rantau dan dunia, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Baqaei membuat kenyataan itu semasa taklimat akhbar mingguannya di Tehran pada Isnin, sehari selepas Iran menyampaikan cadangannya menerusi pengantara Pakistan sebagai tindak balas kepada cadangan awal AS.

Usaha itu bertujuan menamatkan perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada 28 Feb ke atas Iran yang dihentikan selepas 40 hari pertempuran susulan gencatan senjata.

Gencatan senjata yang rapuh itu sebahagian besarnya dilaksanakan walaupun beberapa serangan berlaku di Selat Hormuz, laluan air utama yang dilalui hampir satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli dunia.

Iran, sebuah negara pesisir pantai di sepanjang Selat Hormuz, telah mengekalkan kawalan ke atas laluan air itu sejak awal perang sebagai sebahagian daripada langkah mempertahankan diri serta memperkenalkan peraturan untuk kapal yang melalui Selat.

Beberapa hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April, AS mengenakan sekatan ke atas pelabuhan dan kapal Iran berhubung sekatan negara itu di Selat Hormuz.

Pada petang Ahad, Presiden AS Donald Trump menyifatkan tindak balas Iran terhadap cadangan perjanjian damai negaranya sebagai "tidak boleh diterima".

Bertindak balas terhadap kenyataan Trump, jurucakap Iran itu berkata respons Iran "terdiri daripada tuntutan yang munasabah dan bertanggungjawab, serta cadangan yang murah hati, bukan sahaja untuk kepentingan nasional Iran tetapi juga untuk kebaikan, kestabilan dan keselamatan seluruh rantau dan dunia.”

"Baqaei juga menganggap AS dan Israel bertanggungjawab atas gangguan terhadap kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, dengan mengatakan bahawa Washington bertindak berdasarkan "pandangan berat sebelah".

“Kita harus ingat bahawa tindakan AS dan Zionis sejak 70 hingga 80 hari lepas mengganggu kebebasan pelayaran dan kapal Iran telah diserang di perairan antarabangsa.

"Semua isu ini sepatutnya dibincangkan dan diselesaikan dalam rangka pakej yang dicadangkan ini. Malangnya, pihak AS terus bertegas dengan pandangan berat sebelah dan tuntutan yang tidak munasabah, berdasarkan sebahagian besarnya ialah persepsi yang dibentuk oleh rejim Zionis," katanya.

-- BERNAMA-IRNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan