DUNIA > BERITA

Hizbullah Dakwa Lancar 24 Serangan Terhadap Tentera Israel Di Selatan Lubnan

11/05/2026 09:06 AM

ISTANBUL, 11 Mei (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Hizbullah pada awal Isnin mendakwa ia melancarkan 24 serangan menyasarkan kedudukan tentera Israel, anggota tentera dan kenderaan tentera di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam lalu, lapor Anadolu Ajansi.

Kumpulan itu memaklumkan serangan berkenaan menyasarkan kumpulan tentera Israel, kereta kebal Merkava, jentolak D9, peralatan ketenteraan dan pusat pemerintahan yang baharu diwujudkan di beberapa kawasan sempadan termasuk Khiam, Deir Seryan, Tayr Harfa, Bayyada, Rashaf dan Naqoura.

Menurut kumpulan itu, operasi itu melibatkan explosive drone (dron peledak), bedilan roket, tembakan artileri dan peluru berpandu, selain mendakwa beberapa serangan itu mengenai sasaran yang disahkan.

Kumpulan itu mendakwa serangan berkenaan dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel serta serangan ke atas orang awam dan perkampungan di selatan Lubnan.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 17 April lepas dan kemudian dilanjutkan hingga pertengahan Mei, tentera Israel masih meneruskan serangan harian di Lubnan serta berbalas tembakan dengan Hizbullah.

Serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac, tidak lama selepas perang Iran bermula pada akhir Februari, mengorbankan 2,846 orang, mencederakan 8,693 yang lain dan menyebabkan lebih satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Israel turut mengekalkan apa yang dipanggil sebagai "zon penampan" di wilayah Lubnan.

Amerika Syarikat (AS) dijadual menjadi tuan rumah rundingan damai antara kedua-dua pihak pada 14 hingga 15 Mei ini di Washington DC.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan