DUNIA > BERITA

Rundingan Bertujuan Pertahan Hak Iran, Bukan Menyerah Kalah – Pezeshkian

11/05/2026 06:46 AM

TEHRAN, 10 Mei (Bernama-IRNA) -- Presiden Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa sebarang rundingan yang melibatkan Iran adalah bertujuan menjamin hak negara serta mempertahankan kepentingan nasional dengan tegas, selain menekankan bahawa dialog bukan bermaksud menyerah kalah atau berundur, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Berucap semasa mesyuarat pasukan petugas bagi pembinaan semula kerosakan akibat "perang paksaan ketiga" pada Ahad, Pezeshkian berkata rakyat Iran "tidak akan sekali-kali tunduk kepada musuh".

"Sekiranya terdapat sebarang perbincangan mengenai dialog atau rundingan, ia tidak bermaksud menyerah kalah atau berundur, sebaliknya matlamatnya adalah untuk menjamin hak rakyat Iran dan mempertahankan kepentingan nasional dengan penuh kekuatan," katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan gencatan senjata dengan Iran pada 8 April lepas, susulan pencerobohan tanpa provokasi terhadap Iran selama 40 hari. 

Bagaimanapun, beliau kemudiannya mengarahkan penerusan sekatan haram terhadap kapal serta pelabuhan Iran, yang melanggar syarat gencatan senjata berkenaan. Dalam masa yang sama, dialog tidak langsung antara kedua-dua pihak masih diteruskan.

Pezeshkian turut menekankan keperluan terhadap solidariti sosial dan persefahaman bersama mengenai keadaan negara, sambil menyatakan bahawa rakyat perlu memahami secara realistik kekangan sedia ada serta cabaran yang dihadapi Iran. 

"Adalah menjadi lumrah jika terdapat kesukaran dan kesulitan sepanjang perjalanan ini, namun dengan sokongan rakyat dan bergantung kepada perpaduan nasional, masalah dapat diselesaikan," kata Presiden itu.

Merujuk kepada kesukaran yang berpunca daripada peperangan baru-baru ini, Pezeshkian berkata kecekalan dalam menghadapi kesulitan kadangkala boleh menjadi "lebih sukar daripada mati syahid".

"Dalam keadaan sedemikian, untuk kekal, berdiri teguh, dan menanggung kesulitan serta masalah adakalanya lebih sukar daripada mati syahid, dan mereka yang kekal di lapangan dengan kesabaran, penentangan, serta daya tahan sebenarnya sedang melaksanakan 'jihad yang lebih besar'," katanya.

-- BERNAMA-IRNA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan