Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 10 Mei (Bernama) -- Bintang filem yang kini bergelar ahli politik, C. Joseph Vijay, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri baharu negeri Tamil Nadu pada Ahad selepas beliau dijanjikan sokongan oleh parti-parti lain bagi memperoleh majoriti yang diperlukan dalam dewan undangan negeri.
Penyokong parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) meraikan pelantikan itu dengan membakar mercun dan mengagihkan manisan di beberapa bandar ketika ikon filem berusia 51 tahun itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan gabenor negeri di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai.
Turut hadir pada majlis itu ialah bapa beliau S.A. Chandrasekhar, ibunya Shobha, pelakon Tamil Trisha Krishnan dan pemimpin Parti Kongres Rahul Gandhi.
Sembilan menteri kabinet turut mengangkat sumpah pada majlis berkenaan.
Vijay menjanjikan kerajaan yang telus serta undang-undang dan ketenteraman yang lebih baik di negeri yang mempunyai 77 juta penduduk itu. TVK memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya dewan undangan negeri pada April, kurang daripada 118 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dalam dewan yang mempunyai 234 anggota.
Parti Kongres, sekutu utama bekas parti pemerintah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK), memberikan sokongan kepada Vijay bersama Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India-Marxis (CPI-M), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) dan Liga Persatuan Muslim India (IUML) bagi menamatkan ketidaktentuan mengenai pembentukan kerajaan baharu.
Gabenor negeri Rajendra Vishwanath Arlekar pada Sabtu melantik Vijay sebagai ketua menteri dan meminta beliau mendapatkan undi percaya selewat-lewatnya pada 13 Mei.
Jurucakap DMK Saravanan Annadurai sebelum ini berkata bekas ketua menteri M.K. Stalin tidak mahu berlaku krisis perlembagaan di negeri itu dan telah memujuk sekutunya supaya menyokong Vijay dalam pembentukan kerajaan, menurut laporan media tempatan.
Parti Kongres mempunyai lima kerusi manakala empat parti lain masing-masing mempunyai dua anggota dalam dewan yang baru dipilih itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial