Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 5 Mei (Bernama) -- Pilihan raya dewan undangan negeri di India menghasilkan keputusan mengejut di negeri Tamil Nadu dan Benggala Barat, sekali gus menggemparkan landskap politik negara itu.
Keputusan paling tidak dijangka datang dari Tamil Nadu apabila C. Joseph Vijay, 51, yang tidak dianggap sebagai pencabar politik utama tetapi popular sebagai ikon filem, memimpin parti baharunya Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) meraih kemenangan menewaskan parti pemerintah Dravida Munnetra Kazhagam (DMK).
Lebih dikenali sebagai Vijay atau Thalapathy (bermaksud pemimpin), beliau sebelum ini tidak dilihat sebagai ancaman politik sama ada kepada DMK mahupun All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), dua parti yang telah memerintah Tamil Nadu selama lebih enam dekad.
TVK memperoleh 108 kerusi dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 234 kerusi, diikuti DMK dengan 59 kerusi dan AIADMK sebanyak 47 kerusi, manakala selebihnya dimenangi parti lain, menurut jumlah kerusi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya pada pagi Selasa.
Vijay dijangka memimpin negeri itu sebagai ketua menteri walaupun parti yang ditubuhkan pada 2024 itu gagal memperoleh 118 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti secara bersendirian.
Presiden DMK dan ketua menteri yang akan berundur M.K. Stalin tewas di kerusi Kolathur yang dimenanginya tiga kali sejak 2011 kepada calon TVK V.S. Babu dengan majoriti 8,795 undi.
Dalam reaksinya selepas keputusan diumumkan, Stalin berkata beliau telah melalui kemenangan dan kekalahan dalam kehidupan awamnya namun perjalanan politik DMK akan diteruskan dan parti itu akan berperanan sebagai pembangkang yang baik.
Penyandang Timbalan Ketua Menteri Udhayanidhi Stalin pula menang di kawasan pilihan raya Chepauk-Thiruvallikeni.
Tamil Nadu sememangnya tidak asing dalam melahirkan tokoh politik besar daripada kalangan bintang filem.
AIADMK diasaskan oleh pelakon terkenal yang beralih ke bidang politik, M.G. Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR, selepas berpisah daripada DMK pada 1972.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai ketua menteri negeri itu. J. Jayalalithaa, yang digelar "Puratchi Thalaivi" (pemimpin revolusi) dan dikenali sebagai Amma, mengambil alih parti itu selepas kematian MGR pada 1987 dan mendominasi politik Tamil Nadu selama tiga dekad, termasuk berkhidmat sebagai ketua menteri sebanyak enam kali.
AIADMK semakin lemah sejak kematian Jayalalithaa pada 2016 ketika berusia 68 tahun.
Kini Vijay dipuji sebagai ikon politik baharu di negeri itu yang mempunyai lebih 80 juta penduduk dengan identiti wilayah dan bahasa yang kuat.
Pilihan raya dewan undangan negeri diadakan di negeri Assam, Benggala Barat, Kerala, Tamil Nadu dan Wilayah Pentadbiran Persekutuan Puducherry bulan lepas dan pengiraan undi dilakukan pada Isnin.
Di Benggala Barat, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi mencatat kemenangan besar menewaskan Parti Trinamool Congress (TMC) pimpinan ketua menteri tiga penggal Mamata Banerjee.
Kemenangan di negeri yang bersempadan dengan Bangladesh itu akan membantu parti nasionalis Hindu itu memperkukuh imejnya sebagai parti yang mempunyai daya tarikan nasional yang lebih luas, bukan sekadar berpengaruh di kawasan berbahasa Hindi dan negeri di bahagian barat seperti Gujarat dan Maharashtra.
BJP mengerahkan segala usaha untuk merampas Benggala Barat daripada TMC dan kemenangan itu diraikan penyokongnya di seluruh negeri.
Benggala Barat, negeri keempat paling ramai penduduk di India dengan lebih 100 juta orang, menyaksikan kempen pilihan raya yang sengit.
Banerjee, pengkritik tegar dasar BJP, tewas di kerusi Bhabanipur kepada pemimpin BJP Suvendu Adhikari dengan kira-kira 15,000 undi.
Menteri Dalam Negeri India Amit Shah yang berkempen selama beberapa hari di negeri itu untuk BJP, turut memberi reaksi terhadap kekalahan Banerjee di media sosial.
"Saya tabik hormat kepada penduduk Bhabanipur. Mandat mereka jelas menunjukkan nasib yang menanti seorang pemerintah yang bersifat anarki," katanya di platform X.
Suruhanjaya Pilihan Raya menyifatkan pilihan raya itu adil, mempertahankan semakan daftar pemilih bagi mengambil kira pengundi yang tidak hadir atau telah meninggal dunia selain memuji peratusan keluar mengundi yang tinggi di Benggala Barat.
BJP memenangi 206 kerusi dalam dewan undangan negeri Benggala Barat yang mempunyai 294 kerusi, manakala TMC memperoleh 81 kerusi dan parti Kongres hanya menang dua kerusi.
Peratusan undi BJP ialah 45.8 peratus berbanding 40.8 peratus bagi TMC.
Sementara itu, Narendra Modi bersama pemimpin tertinggi parti meraikan kemenangan pilihan raya di ibu pejabat parti di New Delhi.
Beliau memberitahu penyokongnya bahawa "satu lembaran baharu telah bermula dalam nasib Benggala Barat."
Modi turut memuji kemenangan parti itu di Assam, dengan BJP akan membentuk kerajaan bagi penggal ketiga berturut-turut selama lima tahun.
Jumlah kerusi BJP di Assam ialah 82, diikuti Kongres dengan 19 kerusi, serta masing-masing 10 kerusi bagi Bodoland Peoples Front dan Asom Gana Parishad.
Di Puducherry, BJP memenangi empat kerusi manakala sekutu wilayahnya Parti All India N.R. Congress memperoleh 12 kerusi bagi membentuk majoriti bersama dalam dewan perundangan yang mempunyai 30 kerusi itu.
Di negeri selatan Kerala, Parti Kongres Nasional India muncul sebagai parti terbesar dengan 63 kerusi dan rakan sekutunya Liga Persatuan Muslim India (IUML) memenangi 22 kerusi, cukup untuk membentuk majoriti selesa dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 140 kerusi.
Barisan Demokratik Bersatu (UDF) pimpinan Kongres kembali berkuasa selepas pemerintahan selama sedekad oleh Barisan Demokratik Kiri (LDF) pimpinan Parti Komunis India (Marxis) di negeri itu yang mempunyai lebih 35 juta penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial