DUNIA > BERITA

PBB Salur US$98 Juta Dana Kecemasan Untuk Mozambique

05/05/2026 02:55 PM

LUSAKA (Zambia), 5 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalurkan hampir US$98 juta dana kecemasan bagi menyokong penduduk yang terjejas akibat konflik dan bencana berkaitan iklim di Mozambique, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Dana ini akan membantu menangani keperluan mendesak komuniti, termasuk makanan untuk keluarga yang kehilangan tanaman dan sumber pendapatan, bekalan air minuman selamat bagi komuniti yang sumber airnya ditenggelami atau tercemar, serta perkhidmatan kesihatan untuk mereka yang terputus daripada perkhidmatan asas,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB Catherine Sozi dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mozambique kini berdepan pelbagai cabaran serentak termasuk konflik di wilayah utara Cabo Delgado yang menyebabkan keluarga kehilangan tempat tinggal serta menjejaskan sumber rezeki, selain banjir teruk dan taufan di wilayah tengah dan selatan yang memusnahkan kediaman, mencemarkan sumber air dan merosakkan perkhidmatan penting.

Sozi berkata dana itu turut akan menyokong mereka yang kehilangan tempat tinggal dengan menyediakan perlindungan kecemasan dan bantuan asas, manakala aspek perlindungan kekal menjadi keutamaan, khususnya bagi wanita dan kanak-kanak serta individu yang berisiko menjadi mangsa keganasan.

“Dana ini akan menyumbang kepada Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan 2026, yang memerlukan US$534 juta bagi membantu 1.7 juta penduduk di seluruh negara dengan bantuan kemanusiaan,” tambahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan