ISTANBUL, 4 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pejabat Pendakwa Rom mengumumkan pada Isnin bahawa satu siasatan telah dibuka berhubung penahanan dua aktivis semasa flotila bantuan Gaza dipintas Israel di perairan antarabangsa berhampiran Greece, lapor Anadolu Ajansi.
Siasatan itu melibatkan operasi yang dijalankan pada malam 29 April di luar pantai Pulau Crete, Greece, di mana tentera Israel memintas beberapa buah bot dalam Flotila Sumud Global yang cuba membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut agensi berita Itali, ANSA.
Pihak berkuasa Israel menyatakan seramai 175 aktivis telah dibawa keluar dari kapal-kapal berkenaan. Sebahagian besar daripada mereka kemudiannya dibebaskan, termasuk 24 warga Itali.
Bagaimanapun, dua aktivis iaitu warga Sepanyol, Saif Abu Keshek dan warga Brazil, Thiago Avila, telah ditangkap dan dibawa ke Bandar Ashkelon, Israel.
Pendakwa melancarkan siasatan selepas menerima tiga aduan rasmi, termasuk dua berkaitan Avila dan Abu Keshek, yang dilaporkan diambil dari kapal berbendera Itali dan masih berada dalam tahanan.
Menurut laporan itu, kes berkenaan juga menyasarkan individu yang tidak dikenali atas syak wasangka melakukan penculikan, rompakan, dan menyebabkan kerosakan yang berisiko mengakibatkan kapal karam.
Penyiasat dijangka mengemukakan permohonan kerjasama kehakiman antarabangsa, yang dikenali sebagai "letter rogatory", kepada pihak berkuasa Israel sebagai sebahagian daripada siasatan itu.
Pendakwa Rom sebelum ini sudah pun meneliti kes berasingan yang dikaitkan dengan misi Global Sumud Flotilla tahun lepas, melibatkan dakwaan kesalahan termasuk penyeksaan.
Flotila Sumud Global dipintas berhampiran Crete, kira-kira 600 batu nautika dari destinasinya di enklaf Gaza yang disekat dan dikepung.
Kumpulan kapal pertama flotila itu yang membawa bantuan kemanusiaan bertolak dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama belayar dari Pulau Sicily, Itali pada 26 April dengan matlamat untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.
Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Rejim itu melancarkan serangan kejam selama dua tahun ke atas Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain, serta mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di seluruh wilayah yang terkepung itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial