WASHINGTON, 2 Mei (Bernama-Yonhap) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata beliau “tidak berpuas hati” dengan cadangan damai terbaharu Iran, sambil menyatakan perunding dari republik Islam itu meminta perkara yang beliau “tidak boleh persetujui”, lapor Agensi Berita Yonhap.
Trump membuat kenyataan itu dalam sesi taklimat media susulan laporan berita bahawa Tehran telah menghantar cadangan baharu kepada pengantara Pakistan bagi rundingan dengan AS, ketika Washington menunggu maklum balas bersepadu daripada kepimpinan Iran, yang disifatkannya sebagai “sangat berpecah-belah”.
“Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi saya tidak berpuas hati dengannya. Jadi kita akan lihat apa yang berlaku,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih. “Iran mahu membuat perjanjian kerana mereka pada asasnya sudah tiada kekuatan ketenteraan lagi.”
Ketika diminta menjelaskan perkara yang tidak dipersetujui, Trump berkata: “Mereka meminta perkara yang saya tidak boleh persetujui.”
Beliau tidak menghuraikan lanjut mengenai cadangan terbaharu Iran itu.
Kedua-dua pihak berusaha merapatkan perbezaan berhubung usaha Iran untuk mengekalkan pengaruh terhadap laluan strategik Selat Hormuz serta tuntutan AS supaya Iran meninggalkan cita-cita nuklearnya dan menyerahkan simpanan uranium diperkaya yang boleh digunakan untuk menghasilkan bom.
Trump turut mengulangi kesukaran berunding dengan kepimpinan Iran yang menurut AS sedang berdepan perpecahan dalaman antara golongan tegar dan sederhana, sekali gus menyukarkan usaha merangka cadangan yang tersusun untuk menamatkan permusuhan dengan AS.
“Di Iran, kepimpinan mereka sangat berpecah-belah. Ada dua hingga tiga kumpulan, mungkin empat,” katanya. “Namun begitu, mereka semua mahu membuat perjanjian, tetapi keadaan mereka bercelaru.”
Beliau juga berkata pemimpin Iran “tidak dapat bekerjasama antara satu sama lain”, yang menurutnya meletakkan AS “dalam kedudukan yang sukar”.
“Satu kumpulan mahu membuat satu jenis perjanjian. Kumpulan lain mahu membuat perjanjian yang berbeza, termasuk golongan tegar,” katanya. “Golongan tegar juga mahu membuat perjanjian. Mengapa tidak? Mereka tiada tentera laut. Mereka tiada tentera udara. Mereka tiada pertahanan udara. Mereka tiada apa-apa.”
Beliau menambah rakyat Iran tidak tahu “siapa pemimpin mereka”.
“Mereka sangat keliru,” katanya.
Trump telah melanjutkan gencatan senjata dengan Iran sehingga Tehran mengemukakan cadangan damai yang bersepadu, walaupun pentadbirannya terus meningkatkan tekanan terhadap Iran melalui sekatan laut ke atas pelabuhan dan kapal Iran serta sekatan ekonomi.
Washington dan Tehran mengadakan satu-satunya rundingan langsung peringkat tinggi di Islamabad pada 11 dan 12 April, namun gagal mencapai persetujuan.
Mengulas Resolusi Kuasa Perang 1973, Trump berkata pentadbirannya menganggap resolusi itu tidak berperlembagaan.
Di bawah resolusi itu, presiden dikehendaki menamatkan penggunaan angkatan tentera AS tanpa kebenaran dalam tempoh 60 hari selepas memaklumkan Kongres, kecuali jika penggubal undang-undang memberi kelulusan.
Tempoh 60 hari bagi operasi ketenteraan semasa terhadap Iran dijadual tamat pada Jumaat, selepas Trump memaklumkan Kongres mengenai operasi itu pada 2 Mac. Pentadbiran Trump berpendapat gencatan senjata semasa dengan Iran telah menghentikan kiraan tempoh 60 hari itu.
“Ramai presiden, seperti yang anda tahu, telah melangkaui tempoh itu. Ia tidak pernah digunakan. Ia tidak pernah dipatuhi,” katanya. “Setiap presiden lain menganggapnya tidak berperlembagaan, dan kami bersetuju dengan itu.”
Dalam surat kepada Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson dan Senator Chuck Grassley, Presiden Pro Tempore Senat, Trump menulis bahawa “permusuhan yang bermula pada 28 Feb 2026 telah ditamatkan”, sekali gus mengelakkan tarikh akhir 1 Mei untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi meneruskan perang dengan Iran, menurut Associated Press.
Dalam sesi taklimat itu, Trump turut memberikan nada positif mengenai sidang kemuncak akan datang dengan Presiden China Xi Jinping yang dijadual berlangsung di Beijing pada 14 dan 15 Mei.
“Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan. Lawatan ke China dan pertemuan dengan Pengerusi Xi ... itu akan menjadi hebat,” katanya.
Jika berlangsung, sidang kemuncak berprofil tinggi antara Trump dan Xi dijangka menyentuh pelbagai isu dua hala, serantau dan global, termasuk perdagangan, keselamatan Taiwan serta perang AS-Israel terhadap Iran.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial