BERITA TERGEMPAR   LUBNAN RUGI SEHINGGA US$160 JUTA SEHARI AKIBAT KONFLIK - PERSATUAN EKONOMI | 
 DUNIA > BERITA

Suspek Serang Dua Pelajar Lelaki, Sembur Polis Di Tokyo Diburu

29/04/2026 10:53 PM

TOKYO, 29 April (Bernama-Kyodo) -- Seorang lelaki di Jepun masih bebas selepas didakwa memukul dua pelajar sekolah menengah dengan tukul dan menyembur bahan yang tidak diketahui ke arah beberapa anggota polis pada pagi Rabu, kata polis, lapor Kyodo News.

Kejadian berlaku kira-kira 7.20 pagi di sebuah jalan di Fussa, kawasan pinggir bandar di barat Tokyo, apabila lelaki itu, dipercayai berusia 40-an, mencederakan seorang pelajar lelaki pada muka dan seorang lagi pada bahu.

Menurut polis, dia menyerang kedua-duanya selepas ibunya memberi amaran kepada beberapa pelajar yang bercakap di jalan supaya diam namun mereka terus berada di situ.

Seorang saksi yang melihat kejadian di kawasan perumahan berhampiran Stesen JR Fussa membuat panggilan kecemasan, melaporkan seorang lelaki membawa tukul besi sedang menyerang seseorang.

Polis berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan semasa bercakap dengan ibu lelaki itu, anggota polis telah diugut lelaki tersebut dengan pisau yang dibawanya dari rumah sebelum dia menyembur mereka dengan bahan yang tidak diketahui, mencederakan tiga orang.

Yakin lelaki berkenaan mengurung diri di dalam rumahnya, polis menyerbu kediaman itu sekitar tengah hari tetapi hanya menemui tukul, pisau dan semburan.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia melarikan diri melalui pintu belakang selepas menyembur pegawai, sebelum polis memasuki kediaman itu.

Walaupun tiada kecederaan yang mengancam nyawa, polis sedang mengesan lelaki itu kerana disyaki cuba membunuh.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan