Daripada Fadzli Ramli
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di sini hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) ke-25.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini pada kira-kira 2.30 petang disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan.
Mesyuarat AEMM selama dua hari bermula hari ini itu dijangka membincangkan pelbagai topik antaranya konflik di Asia Barat dan krisis bekalan global, selain isu serantau dan antarabangsa termasuk konflik Israel-Palestin dan Rusia-Ukraine.
Mesyuarat dwitahunan itu juga menyaksikan jadual padat buat Mohamad yang akan menghadiri mesyuarat utama esok.
Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Wakil Tinggi untuk Hubungan Luar dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah (EU) , Kaja Kallas di sini, hari ini.
Mohamad turut dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Cyprus, Republic Czech dan Lithuania esok.
AEMM Ke-25 dihadiri kesemua sembilan Menteri Luar dari negara ASEAN, kecuali Laos yang diwakili Timbalan Menterinya manakala Myanmar di wakili Setiausaha Tetap Kementerian.
Sementara itu, enam orang Menteri Luar EU dan seorang Menteri Pendidikan dari negara anggota EU akan menghadiri mesyuarat itu.
Brunei yang merupakan tuan rumah AEMM Ke-25 juga adalah Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tempoh 2024 hingga 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial