AMSTERDAM, 23 April (Bernama-dpa) -- Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka laluan bagi perbicaraan bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut pengumuman mahkamah di The Hague itu, barisan hakim sebulat suara mengekalkan semua pertuduhan berkaitan kempen antinarkotik kendalian beliau. Mahkamah menyatakan bahawa bukti yang ada adalah mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.
Hakim memutuskan terdapat "asas yang kukuh" untuk mempercayai bahawa Duterte bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan. Tarikh bermulanya perbicaraan itu bagaimanapun belum diumumkan.
Pihak pendakwa raya mendakwa pemimpin berusia 81 tahun itu melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dalam perang dadah yang diterajui kerajaan, khususnya melibatkan 78 kes pembunuhan dan percubaan membunuh.
Barisan hakim pada mulanya telah menyemak bukti-bukti berkenaan dalam pendengaran awal.
Pada Rabu, mahkamah menolak usul pasukan pembelaan Duterte untuk membatalkan kes itu berdasarkan isu bidang kuasa ICC.
Pasukan pembelaan juga cuba menghalang perbicaraan dengan memberi alasan tahap kesihatan Duterte yang merosot, namun usaha itu turut gagal.
Duterte, yang memegang jawatan Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022, melancarkan peperangan tanpa henti terhadap jenayah dadah sepanjang tempoh pentadbirannya, yang menurut organisasi hak asasi manusia, telah mengorbankan anggaran 30,000 mangsa.
Suspek sering kali dihukum mati secara ringkas tanpa melalui proses perbicaraan.
Bekas presiden itu ditahan di Manila pada Mac 2025 berdasarkan waran tangkap ICC dan diterbangkan ke Belanda, di mana terletaknya The Hague. Beliau bagaimanapun menolak semua pertuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial