DUNIA > BERITA

RES 2026 Dibuka Dengan Seruan Kerjasama Global Tangani Perubahan Iklim

22/04/2026 08:05 PM

Daripada C. Vinoothene

ASTANA (Kazakhstan), 22 April (Bernama) -- Kerjasama global dalam menangani perubahan iklim menjadi tumpuan pada pembukaan Sidang Kemuncak Ekologi Serantau (RES) 2026 di sini pada Rabu, dengan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev menggesa pendekatan pragmatik dan seimbang terhadap kemampanan.

Berucap pada sidang kemuncak itu, Tokayev berkata kerjasama alam sekitar perlu menjadi faktor penyatuan, sambil menyeru perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama dalam menangani cabaran global.

“Kerjasama alam sekitar mesti menjadi instrumen penyatuan yang boleh dipercayai dan tidak seharusnya memecahbelahkan kita.

“Ia perlu berasaskan perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama, tanpa menuding jari, tanpa memalukan dan tanpa menyalahkan sesiapa. Sebagai rakan kongsi, kita mesti bertindak secara pragmatik dan bertanggungjawab dalam menyokong keamanan serta pembangunan mampan.

“Alam semula jadi boleh wujud tanpa politik; politik tidak boleh wujud tanpa alam semula jadi,” katanya pada Rabu.

Tokayev berkata beberapa dasar alam sekitar gagal mengambil kira sepenuhnya perbezaan tahap pembangunan antara negara, khususnya negara yang masih membangunkan ekonomi mereka, sambil menegaskan bahawa peralihan kepada tenaga lebih bersih mesti dilaksanakan secara adil dan tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Agenda alam sekitar dalam banyak keadaan dibentuk tanpa mengambil kira sepenuhnya keperluan pembangunan di pelbagai rantau dan negara, khususnya negara sedang pesat membangun yang masih membina kapasiti ekonomi mereka.

“Oleh itu, peralihan kepada model yang lebih bersih mesti adil, seimbang dan berperikemanusiaan,” katanya.

Sidang kemuncak yang berlangsung mulai hari ini hingga 24 April itu bertujuan menghimpunkan negara Asia Tengah, dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain, bagi merangka penyelesaian bersama terhadap perubahan iklim serta cabaran alam sekitar yang lebih luas.

Pemimpin dan peserta dari lebih 50 negara, bersama wakil PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menghadiri sidang kemuncak itu yang memberi tumpuan kepada isu utama perubahan iklim, termasuk peralihan tenaga, krisis air dan pembiayaan hijau.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan