ABUJA (Nigeria), 21 April (Bernama-Anadolu) -- Nigeria mengubah corak lamanya sebagai pengeksport minyak mentah dan pengimport bahan api bertapis apabila muncul sebagai pengeksport bersih produk petroleum bertapis buat kali pertama, lapor Anadolu Ajansi.
Loji Penapisan Petroleum Dangote milik usahawan Nigeria, Aliko Dangote mengeksport 44,000 tong petrol sehari pada Mac, jauh melebihi jumlah import negara itu, sekali gus menghasilkan lebihan sekitar 3,000 tong sehari.
Import bahan api Nigeria pula susut kepada 41,000 tong sehari dalam tempoh sama, iaitu paras terendah pernah direkodkan.
Penurunan import itu didorong peningkatan pengeluaran loji penapisan berkenaan, manakala lebihan bekalan yang terhasil disalurkan ke pasaran eksport.
Loji itu mempunyai kapasiti pengeluaran harian sebanyak 650,000 tong.
Pada Mac, ia memproses kira-kira 565,000 tong minyak mentah, antara jumlah tertinggi direkodkan sejak kemudahan itu memulakan operasi pada penghujung 2023.
Dasar Nigeria yang menambah baik iklim pelaburan dalam sektor tenaga turut memainkan peranan penting dalam perubahan itu.
Sebelum ini, Nigeria bergantung pada import petroleum bagi memenuhi permintaan domestik ekoran kekurangan kapasiti penapisan, walaupun merupakan pengeluar minyak terbesar di benua Afrika.
Loji penapisan yang berpangkalan di Lagos itu memulakan pengeluaran pada Januari selepas dibangunkan dengan kos US$19 bilion oleh Aliko Dangote, yang juga antara usahawan terkaya di Afrika.
Kemudahan itu terletak di wilayah Lekki, di pesisir Lautan Atlantik.
Loji itu dijangka mampu memenuhi keseluruhan permintaan Nigeria terhadap produk petroleum bertapis apabila beroperasi pada kapasiti penuh.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial