DUNIA > BERITA

Rubio Sertai Rundingan Israel-Lubnan Di Jabatan Negara AS

14/04/2026 06:09 PM

WASHINGTON, 14 April (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio akan menyertai rundingan damai secara langsung antara Israel dan Lubnan di Jabatan Negara pada Selasa, menurut jadual rasmi, lapor Anadolu Ajansi.

Rubio dijadual menjadi tuan rumah kepada Duta Israel Yechiel Leiter dan Duta Lubnan Nada Hamadeh Moawad pada 11 pagi waktu tempatan sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik untuk mencapai perjanjian gencatan senjata. 

Pertemuan itu akan menandakan rundingan langsung antara Israel dan Lubnan dan merupakan antara rundingan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak dalam tempoh beberapa dekad. 

Perbincangan dijangka tertumpu kepada usaha ke arah gencatan senjata, pelucutan senjata Hizbullah dan perjanjian damai yang lebih menyeluruh. 

Rundingan itu diadakan ketika pertempuran berterusan antara Israel dan Hizbullah di selatan Lubnan, susulan peluasan serangan udara dan darat tentera Israel selepas perang Iran. 

Lebih 2,000 orang terbunuh dan sejuta lagi kehilangan tempat tinggal sejak awal Mac.

Hizbullah menolak rundingan yang dirancang di Washington itu dengan menyifatkannya sebagai “sia-sia” serta menggesa kerajaan Lubnan memberi tumpuan kepada usaha menentang pencerobohan Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan