KARACHI (Pakistan), 11 April (Bernama-Anadolu) -- Pakistan bersedia menerima delegasi Amerika Syarikat (AS) yang diketuai oleh Naib Presiden JD Vance untuk rundingan langsung bersejarah dengan delegasi Iran bermula Sabtu untuk menamatkan perang yang telah mencengkam rantau Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Vance meninggalkan Washington pada Jumaat menaiki Air Force Two dan mengetuai delegasi AS, yang merangkumi utusan khas Presiden Donald Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner.
Delegasi Iran diketuai oleh Speaker Parlimen Bagher Qalibaf dan dianggotai Menteri Luar Abbas Araghchi, Timbalan Majlis Keselamatan Tertinggi Negara Ali Bagheri Kani serta beberapa individu lain yang sudah berada di Islamabad pada Sabtu.
Diplomat tertinggi Pakistan, Ishaq Dar, bersama Ketua Turus Tentera Jen. Asim Munir, Speaker Perhimpunan Kebangsaan Ayaz Sadiq dan Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi menerima kunjungan delegasi Iran tersebut.
Pertemuan ini merupakan penglibatan bersemuka peringkat tinggi yang paling penting sejak tahun 1979.
Pakistan, bersama-sama Turkiye, China, Arab Saudi dan Mesir, berjaya memperoleh gencatan senjata selama dua minggu antara Washington dan Tehran pada Rabu, 40 hari selepas AS dan Israel memulakan serangan terhadap Iran pada 28 Feb.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu di Islamabad bagi rundingan untuk keamanan yang berkekalan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial