DUNIA > BERITA

Iraq Dikecualikan Daripada Sekatan Selat Hormuz

05/04/2026 09:55 AM

ISTANBUL, 5 April (Bernama-Anadolu) -- Iran berkata pada Sabtu, Iraq akan dikecualikan daripada sekatan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.

“Iraq dikecualikan daripada sekatan yang kami laksanakan di Selat Hormuz,” kata Ibrahim Zolfaqari, jurucakap Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran, menurut agensi berita separuh rasmi Tasnim.

Beliau berkata sekatan itu akan terus terpakai untuk kapal daripada Amerika Syarikat (AS), Israel dan negara yang menyokong mereka.

Zolfaqari berkata perkembangan itu memberi peluang untuk menamatkan kehadiran tentera AS di Iraq.

“Rakyat Iraq dan Iran akan menang bersama-sama dalam perang ini menentang AS dan Israel,” tambahnya.

Pada 2 Mac, Iran mengumumkan sekatan pelayaran melalui Selat Hormuz, memberi amaran ia boleh menyasarkan mana-mana kapal yang cuba melintasi laluan air itu tanpa penyelarasan terlebih dahulu.

Sebelum sekatan, 20 juta tong minyak melalui selat itu setiap hari.

Langkah berkenaan telah meningkatkan kos perkapalan dan insurans, menaikkan harga minyak dan mencetuskan kebimbangan berhubung ekonomi global.

AS dan Israel melancarkan serangan udara pada Feb 28 terhadap Iran, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini, termasuk pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei.

Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Konflik itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan