DUNIA > BERITA

Warga Malaysia Dihukum Penjara 21 Tahun Atas Penyelewengan Bahan Api S$100 Juta Di Singapura

30/03/2026 07:31 PM

SINGAPURA, 30 Mac (Bernama) -- Seorang warga Malaysia yang merupakan bekas pekerja syarikat minyak dan gas dijatuhi hukuman penjara 21 tahun di Singapura selepas mengaku bersalah dalam satu skim melibatkan penyelewengan bahan api dari fasiliti Pulau Bukom.

Richard Goh Chee Keong, 56, mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan berkaitan konspirasi menyalurkan minyak marin bernilai S$100 juta (S$1=RM3.12) antara Ogos 2014 dan Januari 2018, lapor Straits Times.

Beliau turut berdepan 26 pertuduhan tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan 50 pertuduhan, termasuk 39 bagi pecah amanah jenayah, enam bagi pengubahan wang haram, empat bagi rasuah dan satu bagi penggunaan dadah.

Menurut laporan itu, Goh mengaku menerima sekurang-kurangnya S$1.5 juta daripada hasil jenayah, yang dibelanjakan untuk hartanah, sekurang-kurangnya dua kereta, pelaburan dan menyimpan sebahagian wang tersebut.

Beliau bersetuju untuk pelucuthakan aset yang dirampas daripadanya bernilai S$1.07 juta, sebagai pampasan kepada syarikat minyak dan gas berkenaan.

“Hakim Mahkamah Tinggi Dedar Singh Gill membenarkan permohonan Goh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan memerintahkan beliau menyerah diri di Mahkamah Negeri pada 20 April,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan