DUNIA > BERITA

Indeks Inovasi Negara China Naik Ke Tangga Kesembilan Dalam Ranking Dunia

30/03/2026 03:04 PM

BEIJING, 30 Mac (Bernama-CMG) -- Indeks Inovasi Negara China meningkat ke tangga kesembilan dalam ranking dunia, menandakan kemaraan negara itu yang mantap ke arah menjadi negara maju yang inovatif dan berteknologi tinggi. 

Perkembangan itu ditunjukkan menerusi Laporan Indeks Inovasi Kenegaraan 2025 yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Strategi Pembangunan Sains dan Teknologi China pada Forum Tahunan Zhongguancun 2026 di sini pada Ahad.

Laporan itu menilai keupayaan inovasi 60 buah negara berdasarkan 43 petunjuk merangkumi lima aspek utama iaitu sumber inovasi, penciptaan ilmu pengetahuan, inovasi perusahaan, prestasi inovasi dan tadbir urus inovasi.

Keputusan penilaian menunjukkan bahawa pada 2025, 10 negara teratas dalam ranking dunia ialah Amerika Syarikat, Switzerland, Sweden, Britain, Jerman, Jepun, Denmark, Korea Selatan, China dan Belanda.

Pencapaian itu menyaksikan China naik satu anak tangga berbanding tahun sebelumnya dengan mengumpul 67.2 mata, sekali gus mengatasi Perancis dan Belanda serta mengecilkan jurang dengan kelompok negara di kedudukan kelima hingga kelapan.

Secara keseluruhannya, keupayaan inovatif China yang meningkat secara berterusan kini menghampiri tahap negara maju yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sekitar US$50,000 (RM201,000).

Menurut laporan itu, China yang sedang memperkukuh agenda pembangunan negara berasaskan sains dan teknologi perlu meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan asas dan mengoptimumkan struktur input dan output.

Langkah lain termasuk menggalakkan integrasi mendalam antara inovasi teknologi dan inovasi industri, memperincikan pelaksanaan dasar pembaharuan sistem serta mekanisme inovasi teknologi, memperhebat keberkesanan sistem inovasi di peringkat kebangsaan, serta memberi lebih banyak anjakan dalam menerajui pembangunan berkualiti tinggi.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan