JAKARTA, 26 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan khas ke Jakarta Jumaat ini bagi membincangkan perkembangan semasa geopolitik Asia Barat yang semakin meruncing selain memperkukuh kerjasama dua hala.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata lawatan itu diadakan atas undangan Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang disampaikan semasa perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin, 23 Mac lepas.
Beliau berkata pertemuan Anwar dan Prabowo akan tertumpu kepada perkembangan geopolitik termasuk situasi di Palestin dan Iran serta implikasinya terhadap kestabilan serantau dan global.
“Perbincangan itu juga dijangka menjurus kepada usaha mencari penyelesaian secara aman dan diplomatik terhadap konflik yang sedang berlaku, di samping menilai kesannya terhadap ekonomi serta keselamatan rantau ini,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Lawatan khas satu hari Perdana Menteri merupakan kunjungan pertama beliau ke sini tahun ini, selepas lima pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua pemimpin tahun lepas, termasuk Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 pada 28 Julai di Jakarta.
Syed Mohamad Hasrin berkata kedua-dua pemimpin turut dijangka memperkemas kerjasama bilateral sebelum Malaysia menjadi tuan rumah kepada Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-14 tahun ini.
“Walaupun singkat lawatan berkenaan mempunyai kepentingan tersendiri dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kepada kedua-dua pemimpin menyelaras pandangan terhadap isu-isu geopolitik semasa,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pemimpin dijangka akan mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan serta memastikan kelangsungan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global yang kritikal kepada kesejahteraan rakyat.
Ia berkata perkembangan terbaharu di Asia Barat menuntut perbincangan yang menyeluruh, rapi dan bersepadu antara kedua-dua negara dalam menyelaras pendirian serta memperkukuh kerjasama strategik bagi mendepani situasi ini.
Kementerian itu berkata pertemuan berkenaan juga akan menegaskan kepentingan memperkukuh peranan ASEAN sebagai satu blok yang bersatu dan berprinsip serta keupayaan bertindak secara kolektif dalam memelihara keamanan, kestabilan serantau serta menjamin daya tahan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial