DUNIA > BERITA

Uzbekistan Ajak Rakyat Malaysia Terokai Sejarah Asia Tengah Dengan Berkunjung Ke Pusat Tamadun Islam

13/03/2026 05:33 PM

Daripada Samihah Mohamed Janum

TASHKENT, 13 Mac (Bernama) -- Pusat Tamadun Islam di Uzbekistan mengajak pengunjung dari Malaysia untuk meneroka sejarah agung Asia Tengah serta mengenali dengan lebih dekat pusat berkenaan yang dianggap simbol penting dalam perkembangan tamadun Islam dan kemanusiaan di rantau ini.

Setiausaha Saintifiknya Rustam Jabbarov berkata pusat itu merupakan projek kebudayaan berskala besar yang menempatkan pelbagai kemudahan moden termasuk muzium, dewan persidangan, makmal penyelidikan, dan perpustakaan yang bertujuan menonjolkan warisan budaya, ilmu pengetahuan serta sejarah Uzbekistan.

“Kemudahan-kemudahan itu menjadikan pusat berkenaan sebagai platform ilmiah dan kebudayaan penting yang memaparkan perkembangan tamadun serta peranan ilmu dan budaya Islam di rantau ini.

“Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menunjukkan minat terhadap pusat itu semasa lawatan beliau ke Uzbekistan pada tahun 2024, yang dijangka membuka peluang bagi memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang tamadun Islam, pendidikan dan kebudayaan” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, di sini.

Jabbarov berkata pusat itu menempatkan dua perpustakaan moden, antara yang terbesar di Asia Tengah, dengan koleksi lebih 1,000 buku bercetak serta lebih satu juta buku elektronik, selain mempunyai rangkaian dengan beberapa perpustakaan utama dunia.

Selain itu, muzium utama di pusat berkenaan terdiri daripada lima bahagian utama yang memaparkan perkembangan tamadun di wilayah Uzbekistan sejak zaman sebelum kedatangan Islam sehingga era moden.

Menurut Jabbarov, Asia Tengah termasuk Uzbekistan pernah menjadi pusat tamadun yang berkembang pesat dengan kepelbagaian budaya, selain menyaksikan kemajuan dalam bidang sains, astronomi dan seni.

Katanya, apabila Islam tiba di rantau itu pada abad kelapan, Uzbekistan muncul sebagai pusat ilmu yang melahirkan ramai sarjana Islam terkemuka dunia seperti Imam al-Bukhari, Imam al-Tirmizi, Abu Rayhan al-Biruni dan Imam al-Maturidi.

Tokoh-tokoh termuka ini yang berasal dari wilayah Asia Tengah, khususnya kawasan yang kini dikenali sebagai Uzbekistan memberi sumbangan besar kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan tamadun Islam.

Beliau berkata wilayah ini juga menyaksikan kebangkitan semula tamadun pada era pemerintahan Amir Timur atau Tamerlane pada abad ke-14, yang memulihkan semula kegiatan ilmu dan budaya selepas kemusnahan akibat serangan Mongol serta membuka jalan kepada kebangkitan intelektual yang dikenali sebagai "Renaissance Timurid" di Asia Tengah.

Menurut Jabbarov, ketika itu, rantau berkenaan menjadi persinggahan pedagang dan utusan dari pelbagai negara termasuk Iran, Turkiye dan wilayah berhampiran China, manakala pengaruh kerajaan berkenaan turut meluas hingga ke benua kecil India selama beberapa abad.

Selepas era Timuriyah, beberapa dinasti lain seperti Shaybanid dan Ashtarkhanid terus memainkan peranan dalam meneruskan pembangunan tamadun di rantau itu.

Beliau berkata di bawah kepimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev, Uzbekistan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sejak 2017 merangkumi sektor ekonomi, budaya, pendidikan, seni dan sukan bagi memperkukuh pembangunan negara secara menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan