BEIJING, 5 Mac (Bernama-CMG) -- China menyasarkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga lima peratus pada 2026 dan komited mencapai prestasi yang lebih baik.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan Perdana Menteri Li Qiang semasa majlis pembukaan sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) pada Khamis.
Menurut laporan itu, China akan mengawal kadar pengangguran di bandar dan pekan pada paras sekitar 5.5 peratus dengan lebih 12 juta peluang pekerjaan baharu disediakan pada tahun ini.
Antara matlamat pembangunan lain yang turut digariskan termasuk kadar kenaikan indeks harga pengguna pada kira-kira dua peratus, jumlah pengeluaran bijirin mencapai 700 juta tan dan pelepasan karbon dioksida bagi setiap unit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikurangkan sebanyak 3.8 peratus.
Laporan berkenaan menyebut bahawa kerajaan China akan terus melaksanakan dasar monetari yang sederhana longgar pada tahun ini.
China juga komited mempergiat usaha untuk mewujudkan kemandirian serta pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi pada peringkat yang lebih tinggi.
Dengan mengambil peluang daripada revolusi teknologi dan transformasi perindustrian pusingan baharu, China akan meningkatkan keupayaan inovasi kendiri secara menyeluruh bagi menyokong pembangunan berkualiti tinggi.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial