ISTANBUL, 2 Mac (Bernama-Anadolu/INA) -- Serangan dron oleh Iran ke atas kemudahan penapisan minyak Ras Tanura milik Saudi Aramco pada Isnin, mencetuskan kebakaran besar, lapor Anadolu Ajansi memetik kepada laporan media.
Insiden itu turut tular menerusi rakaman video yang dikongsi secara meluas di media sosial.
Terletak di pantai timur Arab Saudi sepanjang Teluk Parsi, Ras Tanura merupakan satu daripada hab penapisan dan eksport minyak utama kerajaan itu.
Sementara itu, Agensi Berita Iraq (INA) yang memetik laporan Reuters dan Bloomberg melaporkan bahawa Aramco telah menutup kilang penapisan minyak itu susulan serangan dron berkenaan.
Laporan mengenai penutupan itu menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak sebanyak 9.32 peratus.
Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai, kilang penapisan Ras Tanura ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Pegawai itu turut menyatakan bahawa keadaan kini berada dalam keadaan terkawal.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan siri serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, aset AS, serta beberapa negara Teluk.
Iran turut membalas dengan menyasarkan lokasi tertentu di beberapa negara serantau yang menempatkan pangkalan AS, terutamanya Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Bahrain.
Setakat ini, serangan Iran telah mengenai sasaran di Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan UAE.
-- BERNAMA-ANADOLU/INA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial