DUNIA > BERITA

Reddit Didenda USD20 Juta Di Britain, Gagal Lindungi Privasi Kanak-Kanak

26/02/2026 06:11 PM

LONDON, 26 Feb (Bernama-Xinhua) -- Badan pemerhati data Britain pada Selasa mengenakan denda £14.47 juta (kira-kira USD19.5 juta) ke atas platform media sosial Amerika Syarikat (AS) Reddit kerana menggunakan maklumat peribadi kanak-kanak secara menyalahi undang-undang, lapor Xinhua.

Siasatan oleh Pejabat Pesuruhjaya Informasi (ICO) mendapati Reddit tidak "menggunakan sebarang mekanisme jaminan umur yang teguh" dan oleh itu tidak mempunyai asas yang sah untuk memproses maklumat peribadi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

Badan kawal selia itu juga mendapati Reddit gagal melaksanakan Penilaian Impak Perlindungan Data yang diperlukan sebelum Januari 2025.

Menurut ICO kegagalan itu membawa kepada pemprosesan data kanak-kanak yang menyalahi undang-undang dan mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya.

Menyifatkan amalan privasi syarikat itu sebagai “tidak boleh diterima", Pesuruhjaya Informasi United Kingdom (UK) John Edwards mengkritik Reddit kerana gagal memenuhi kewajipan undang-undangnya untuk melindungi data kanak-kanak dan memastikan persetujuan pengguna yang cukup.

Langkah itu susulan pertimbangan Britain baru-baru ini untuk mengetatkan sekatan ke atas penggunaan platform media sosial oleh kanak-kanak.

Pada peringkat global, semakin banyak kerajaan menyatakan kebimbangan mengenai risiko kesihatan mental, buli siber dan pendedahan kepada kandungan berbahaya, sebagai alasan untuk cadangan sekatan dan larangan umur.

-- BERNAMA-XINHUA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan