DUNIA > BERITA

Flotila Baharu Bawa Bantuan Kemanusiaan Belayar Ke Gaza 12 April Ini - Penganjur

26/02/2026 06:06 PM

ISTANBUL, 26 Feb (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Flotila Kebebasan dan Ketahanan baharu yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin akan belayar ke Semenanjung Gaza pada 12 April, menurut penganjur, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Flotila Kebebasan dan Ketahanan dijangka belayar dari Barcelona pada 12 April," kata penganjur misi itu.

Pada Oktober, tentera laut Israel memintas kapal yang membawa bantuan ke enklaf dan menahan aktivis untuk dihantar pulang.

Kementerian Luar Turkiye berkata tindakan Israel ialah "tindakan lanun," menegaskan bahawa serangan ke atas aktivis aman ialah pelanggaran berat undang-undang antarabangsa.

Flotila baharu itu akan merangkumi kira-kira 100 kapal dan bot dengan aktivis daripada sekitar 150 negara, menurut anggaran penganjur. Flotila berkenaan dijadualkan berhenti di Itali, Tunisia dan beberapa pelabuhan Mediterranean.

Pada Rabu, Dilek Tekocak, jurucakap aktivis Turkiye, memberitahu sidang akhbar di Istanbul bahawa keadaan kemanusiaan di Gaza masih teruk walaupun gencatan senjata dilaksanakan, iaitu 477 rakyat Palestin telah terbunuh.

“Ini bukan sekadar kempen bantuan kemanusiaan yang timbul selepas mekanisme antarabangsa sedia ada terbukti tidak berjaya. Ia juga penentangan sivil secara aman terhadap sekatan haram pada skala global," kata Tekocak.

Kementerian Kesihatan Gaza menganggarkan lebih 72,000 orang terbunuh di kawasan itu sejak Oktober 2023, dengan lebih 171,000 yang lain cedera.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan