DUNIA > BERITA

Kerajaan Sementara Syria Ambil Alih Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Qamishli

22/02/2026 02:27 PM

DAMSYIK, 22 Feb (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan sementara Syria mengambil alih pengawasan keselamatan Lapangan Terbang Qamishli di wilayah timur laut Hasakah, menandakan satu lagi langkah dalam pelaksanaan perjanjian lebih luas dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish untuk menyatukan institusi dan mengurangkan kuasa selari di wilayah tersebut, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa dalam negeri berkata pada Sabtu bahawa jabatan keselamatan lapangan terbang dan sempadannya telah mengambil alih tanggungjawab keselamatan di Lapangan Terbang Qamishli, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai awal tahun ini antara Damascus dan SDF.

Langkah terbaharu ini menyusuli siri tindakan di bawah perjanjian tersebut, termasuk penempatan pasukan keselamatan kerajaan ke bahagian Hasakah dan Qamishli, penyelarasan bersama mengenai pengaturan keselamatan, dan pemindahan kawalan secara berperingkat ke atas infrastruktur utama daripada SDF kepada institusi negara.

Lapangan Terbang Qamishli, satu daripada beberapa lapangan terbang yang beroperasi di timur laut Syria, telah lama berfungsi di bawah pengaturan kompleks yang melibatkan SDF dan pihak berkuasa negara Syria. Lapangan terbang itu berkhidmat untuk penerbangan awam dan operasi kerajaan yang terhad sepanjang tahun konflik dan perpecahan.

Perjanjian antara kerajaan sementara dan SDF, yang diumumkan pada akhir Januari, menyeru integrasi berfasa struktur ketenteraan dan pentadbiran, pengunduran tentera dari garisan hubungan tertentu, serta pemindahan lintasan sempadan, lapangan terbang dan kemudahan strategik lain kepada pengawasan kerajaan pusat.

Tiada perubahan segera terhadap operasi penerbangan di Lapangan Terbang Qamishli diumumkan. Pihak berkuasa dalam negeri berkata proses penyerahan itu dilakukan dengan penyelarasan pihak berkuasa berkaitan, tanpa memberikan butiran lanjut.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan