DUNIA > BERITA

India, Brazil Sasar Gandakan Perdagangan Tahunan Kepada US$30 Bilion Dalam 5 Tahun

22/02/2026 02:21 PM

NEW DELHI, 22 Feb (Bernama) -- India dan Brazil menyasarkan untuk menggandakan perdagangan tahunan mereka kepada US$30 bilion menjelang 2030 ketika kedua-dua negara berusaha memperkukuh perkongsian ekonomi dalam pelbagai sektor.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berkata perdagangan telah meningkat daripada US$2.4 bilion pada 2006 kepada US$15.2 bilion pada 2025. 

Perdagangan dua hala tahun lepas meningkat 25.5 peratus berbanding 2024.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menekankan keperluan untuk mengekalkan momentum dalam usaha mencapai sasaran US$30 bilion menjelang 2030 yang mampu dicapai.

"Mereka mengarahkan pihak masing-masing untuk berusaha menghapuskan halangan bukan tarif dalam perdagangan dua hala, dengan tujuan mengurangkan rintangan dan menggalakkan lagi perdagangan antara kedua-dua negara," tambahnya.

Presiden Brazil itu tiba di India pada Rabu untuk lawatan negara.

Entiti kerajaan dan swasta menandatangani lebih daripada sedozen memorandum persefahaman (MoU) pada Sabtu.

Satu MoU antara Kementerian Keluli India dan Kementerian Perlombongan dan Tenaga Brazil bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang perlombongan dan mineral yang diperlukan untuk sektor keluli.

Menurut kementerian India, MoU itu menyediakan rangka kerja institusi untuk memperkukuh kerjasama dua hala merentasi rantaian nilai keluli, dengan fokus kepada mempromosikan pembangunan mampan dan boleh dipercayai bagi bahan mentah utama yang diperlukan untuk pengeluaran keluli.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu juga menyatakan bahawa Brazil merupakan antara pengeluar utama bijih besi dan memegang rizab mineral penting yang besar untuk pembuatan keluli, termasuk mangan, nikel dan niobium.

"Kerjasama yang dipertingkatkan dengan Brazil dijangka meningkatkan akses kepada bahan mentah utama dan teknologi yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang sektor keluli India," katanya.

Sementara itu, pembuat pesawat Brazil, Embraer, sedang mempertimbangkan pesanan pesawat pengangkutan komersial dan tentera baharu dan merancang untuk menubuhkan kemudahan di India jika ia mendapat perniagaan yang besar. 

Embraer dan Adani Defence and Aerospace bertukar MoU yang "dipertingkatkan" pada Sabtu untuk membina barisan pemasangan akhir bagi jet serantau E175 bagi menyasarkan pasaran penerbangan serantau India.

India memerlukan sekurang-kurangnya 500 pesawat dalam segmen 80 hingga 146 tempat duduk dalam tempoh 20 tahun akan datang, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

Embraer dan Kumpulan Mahindra India mengumumkan pada Khamis bahawa mereka merancang untuk "berusaha ke arah" mewujudkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di India untuk pesawat Embraer C-390 Millennium "selepas terpilih dalam program Pesawat Pengangkut Sederhana (MTA) Tentera Udara India."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan