DUNIA > BERITA

Kapal “Xuelong” Jayakan Ekspedisi Antartika Ke-42 China

20/02/2026 08:05 PM

BEIJING, 20 Feb (Bernama-CMG) -- Pasukan ekspedisi Antartika China yang menaiki kapal "Xuelong" berjaya menyelesaikan misi ke-42 berkaitan peninjauan dan penyelidikan lautan pada Khamis, waktu Beijing.

Ketua Ekspedisi Zhang Haifeng berkata pelayaran kali ini melibatkan peninjauan dan penyelidikan bersepadu terhadap persekitaran hidrologi, biologi laut, kimia laut dan persekitaran atmosfera di Laut Amundsen, Laut Ross dan perairan berhampiran selain kajian habitat kawanan penguin.

Beliau berkata semua tugasan yang dilaksanakan dari 24 Januari hingga 19 Februari 2026 berjalan lancar walaupun berdepan cuaca buruk termasuk salji lebat, kabus tebal, ombak tinggi dan aliran ais berbahaya.

Pasukan itu turut berjaya mengambil semula empat set boya ekologi bawah laut yang tamat tempoh perkhidmatan, memasang empat set boya baharu serta memperoleh pelbagai sampel biologi melibatkan kril, ikan lapisan tengah dan hidupan dasar laut.

Pasukan berkenaan merupakan komponen penting dalam penyelidikan dan pemantauan saintifik jangka panjang China di Antartika, khususnya dalam menyediakan sokongan dan maklumat dalam bidang pengajian perubahan iklim dan ekologi alam sekitar di kawasan Antartika.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan