DUNIA > BERITA

Malam Gala TBC 2026 CMG Cetus Fenomena Gilang-Gemilang Dengan Persembahan Mengagumkan

17/02/2026 03:38 PM

BEIJING, 17 Feb (Bernama-CMG) -- Malam Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 arahan Kumpulan Media China (CMG) membuka tirainya tepat pada pukul 8 malam Selasa.

Menonton siaran langsung temasya budaya yang penuh dengan kegembiraan dan kemakmuran itu menjadi pilihan utama bagi rakyat tempatan serta rakan-rakan di seberang laut, terutamanya masyarakat Cina yang meluangkan masa bersama keluarga pada malam terakhir sebelum ketibaan TBC 2026.

Antara persembahan menarik bagi edisi tahun ini ialah kemunculan sekumpulan robot humanoid yang sekali lagi dipentaskan, kali ini sebagai "ahli silat" dalam pertunjukan "Tarian Robot Berunsurkan Kung Fu". Persembahan itu bukan sahaja mempamerkan kekuatan teknologi dan kehebatan produk buatan China, malah turut membantu memartabatkan wusyu yang mempunyai sejarah ribuan tahun.

Gabungan tarian “Injak Lantai Cipta Irama” pula menampilkan tarian sandal kayu daripada kaum Hani, Achimugua daripada kaum Lisu, Flamenco dari Sepanyol dan Legenyes dari Hungary. Persembahan yang menonjolkan gerak langkah kaki yang tersusun rapi itu melambangkan harapan serta doa untuk rezeki yang melimpah.

Dalam pertunjukan akrobatik kreatif "Buat Lukisan Musim Bunga", para akrobat dari China dan Austria telah mempersembahkan kemahiran “diabolo” dan “juggling” di atas pentas yang bermandikan cahaya sekali gus menghidupkan suasana musim bunga berlatarbelakangkan budaya warisan.

Dalam budaya China, kuda melambangkan kekuatan, keazaman dan ketabahan, selain sinonim dengan prospek cerah, kemakmuran dan kejayaan.

Malam Gala TBC 2026 CMG itu berjaya mencetuskan fenomena gilang-gemilang menerusi persembahan yang mengagumkan, dan menjadi platform bagi penonton di peringkat global untuk mendoakan kesejahteraan sempena permulaan “tahun kuda Bingwu yang berunsur api”.

Menurut statistik awal, setakat pukul 12 tengah malam 16 Februari, seramai 677 juta pengguna platform media telah menonton siaran langsung Malam Gala TBC 2026. Selain itu, jumlah organisasi media luar negara yang diberi hak menyiarkan acara berkenaan turut meningkat 37.95 peratus tahun ke tahun, mencecah hampir 4,000 unit.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan