MUNICH, 16 Feb (Bernama-CMG) -- Masyarakat antarabangsa perlu menyempurnakan tadbir urus sejagat melalui pembaharuan bagi memastikan perkembangan sejarah manusia berada di landasan yang betul, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Bersama Pastikan Perkembangan Sejarah Manusia Berada di Landasan yang Betul” pada sesi "China in the World" sempena Persidangan Keselamatan Munich di sini, pada 14 Februari.
Wang berkata sepanjang tahun lalu, situasi antarabangsa menjadi semakin kompleks dan bergolak, dan sudah tiba masa untuk membuat pilihan mengenai hala tuju perkembangan masyarakat manusia demi keamanan dan pembangunan.
Beliau turut mengetengahkan Inisiatif Tadbir Urus Global saranan Presiden China Xi Jinping yang menyasarkan pembinaan sistem tadbir urus sejagat yang lebih adil dan rasional. Inisiatif itu selaras dengan komitmen melaksanakan lima prinsip utama iaitu menegakkan kesamarataan dari segi kedaulatan negara, memartabatkan penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, mempertahankan multilateralisme, mengutamakan kepentingan rakyat, serta menekankan hala tuju dan keberhasilan dalam tindakan bersama.
Inisiatif berkenaan telah menjana impak sosial yang meluas di arena antarabangsa dan dilihat sebagai momentum baharu bagi pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
"Saya mencadangkan empat perkara penting iaitu menambah nafas baharu kepada sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menekankan kerjasama serta penyelarasan antara pelbagai negara, mempertahankan amalan multilateralisme dan menonjolkan tugasan paling mendesak ketika ini iaitu menghentikan peperangan serta menggesa keamanan.
"China konsisten dalam memainkan peranan sebagai pelindung keamanan yang teguh, penjaga kestabilan yang boleh dipercayai dan penggerak kemajuan sejarah, serta tidak berganjak daripada mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan," tambah beliau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial