DUNIA > BERITA

Pengembara Asing Dialu-alukan Kunjungi China Semasa Sambutan TBC 2026

13/02/2026 05:10 PM

BEIJING 13 Feb (Bernama-CMG) -- Pengembara asing dialu-alukan mengunjungi China semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026.

China yakin, perjalanan mereka sempena sambutan TBC 2026 akan menjadi jambatan kebudayaan dan ikatan kukuh yang menghubungkan China dengan seluruh dunia.

Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang akhbar pada Khamis sebagai respons terhadap pertanyaan wartawan tentang pelbagai aktiviti sambutan TBC 2026 yang sedang berlangsung di seluruh dunia, termasuk aktiviti dengan elemen tradisional, seperti tarian naga dan singa, pesta tanglung, kaligrafi kata “Fu”, dan pertunjukan pakaian Hanfu serta aktiviti dengan elemen inovatif seperti robot humanoid pada majlis sambutan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), angpau Kecerdasan Buatan (AI), dan barangan digital untuk sambutan perayaan.

Di samping itu, 'menjelajah ke China semasa sambutan TBC' sudah semakin diterima dalam kalangan netizen asing. Sesetengah media asing bahkan mengatakan bahawa TBC 2026 mungkin akan menjadi musim pelancongan yang paling sibuk dan paling dinanti-nantikan orang ramai.

Lin berkata, TBC 2026 merupakan edisi kedua sejak ia disenaraikan dalam senarai warisan budaya tidak ketara Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Festival ini semakin relevan dengan senario global terutama dalam bidang kebudayaan. 

Pelbagai adat resam perayaan TBC bukan sahaja dilihat sebagai gabungan budaya tradisional China, tetapi juga cermin teknologi inovatif pada zaman moden, yang mendapat nafas baharu melalui interaksi di pentas dunia secara  berturut-turut.

“TBC boleh disifatkan sebagai satu peluang bagi China mengeluarkan jemputan kepada dunia untuk bersama-sama mencetuskan fenomena kebudayaan.

Di sebalik situasi dunia yang terperangkap dalam kancah pertelingkahan dan konflik yang semakin meningkat, konsep keharmonian, keterangkuman dan simbiosis yang terkandung dalam sambutan TBC boleh dilihat sebagai penggerak yang kuat dan memberi inspirasi  bagi meningkatkan keyakinan  dalam landskap dunia.

“Kita sudah berada di ambang Tahun Kuda. Kuda melambangkan keberanian, kebijaksanaan, ketekunan, berdaya tahan, dan semangat yang gigih.

Marilah kita menyemarakkan semangat ’kuda yang memecut’, meningkatkan persefahaman dan pertukaran antara satu sama lain, berusaha bersama untuk mewujudkan keamanan dan pembangunan dunia,” kata Lin.

–BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan