DUNIA > BERITA

Pembangkang Utama Bakal Pilih Pemimpin Baharu Selepas Kekalahan Besar Pilihan Raya Jepun

13/02/2026 12:20 PM

TOKYO, 13 Feb (Bernama-Kyodo) -- Pasukan pembangkang utama Jepun, Centrist Reform Alliance (CRA), akan memilih pemimpin baharunya pada Jumaat, memulakan rombakan parti yang baru ditubuhkan itu selepas mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya Dewan Perwakilan, lapor Kyodo News.

Seramai 49 ahli parlimen dewan rendah parti itu akan memilih melalui undian majoriti mudah antara dua calon -- Takeshi Shina, 59, bekas Pemangku Ketua Penggubal Dasar Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ), dan Junya Ogawa, 54, bekas Setiausaha Agung CDPJ.

Pemilihan singkat selama dua hari itu diadakan menjelang sidang khas parlimen minggu depan bagi memilih perdana menteri negara itu susulan kemenangan besar gabungan pemerintah yang dipimpin oleh Perdana Menteri Sanae Takaichi.

CRA kehilangan lebih separuh daripada 167 kerusi yang dimilikinya sebelum pertandingan dewan rendah pada Ahad, menyebabkan ketua bersamanya Yoshihiko Noda dan Tetsuo Saito, masing-masing bekas ketua CDPJ dan parti Komeito, meletak jawatan untuk bertanggungjawab.

Penggal pemimpin baharu itu akan berjalan sehingga akhir Mac tahun depan.

CRA ditubuhkan pada Januari oleh ahli dewan rendah daripada CDPJ dan Komeito hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya awal itu, menyaksikan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Takaichi memenangi lebih dua pertiga majoriti dalam dewan yang mempunyai 465 anggota.

Walaupun 28 daripada ahli CRA yang baru dipilih berasal dari pihak Komeito, tiada seorang pun menyertai persaingan kepimpinan. Disokong oleh organisasi Buddha awam terbesar di Jepun, Soka Gakkai, Komeito mengakhiri pakatan 26 tahunnya dengan LDP pada Oktober.

Pemimpin baharu itu akan menghadapi cabaran untuk meredakan geseran dalaman yang berpunca daripada tanggapan layanan istimewa terhadap calon daripada Komeito dalam proses pemilihan, yang menyebabkan pihak CDPJ hanya mempunyai 21 kerusi selepas kehilangan lebih 100 kerusi.

Komeito berjaya memenangi semua calon yang ditonjolkan, kerana diberikan keutamaan dalam senarai perwakilan berkadar CRA sebagai balasan kerana menarik diri daripada 289 kawasan pilihan raya tunggal, termasuk satu yang sebelum ini diduduki oleh Saito.

Prestasi buruk CRA dalam pilihan raya itu menjadikannya parti pembangkang utama terkecil dalam sejarah Jepun pascaperang, tidak mempunyai keperluan minimum untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan bajet atau usul tidak percaya terhadap Kabinet secara bersendirian.

Ahli parlimen CDPJ dan Komeito di dewan yang satu lagi, iaitu Dewan Kaunselor, masih belum bergabung di bawah payung CRA.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan