DUNIA > BERITA

Anutin Dalam Landasan Bentuk Kerajaan Baharu Thailand

10/02/2026 12:05 AM

Oleh Kenny Teng & Wilawan Watcharasakwet

BANGKOK, 9 Feb (Bernama) -- Parti Bhumjaithai, yang diterajui Perdana Menteri sementara Anutin Charnvirakul, berada di landasan untuk membentuk kerajaan Thailand yang seterusnya susulan pengiraan awal kerusi parlimen daripada pilihan raya umum pada Ahad.

Keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand (ECT) pada 8.53 pagi waktu tempatan, Isnin menunjukkan Bhumjaithai telah memperoleh 174 kerusi, diikuti oleh Parti Rakyat dengan 87 kerusi dan Parti Pheu Thai dengan 58 kerusi.

Parti Kla Tham memenangi 56 kerusi, manakala Parti Demokrat memperoleh 10 kerusi.

Dengan 94 peratus undi daripada 400 kerusi yang dipertandingkan telah dikira dan pemenang jelas telah dikenal pasti, tumpuan kini beralih kepada langkah Anutin seterusnya dalam membentuk kerajaan gabungan.

Anutin menyifatkan kemenangan itu sebagai mandat rakyat yang ingin melihat Bhumjaithai terus memerintah dan menangani cabaran nasional yang berlarutan.

“Kami percaya negara kini berada pada landasan yang stabil dan kami berharap dapat melangkah ke hadapan dengan Kabinet dan kerajaan yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti itu.

Anutin berkata rundingan dengan parti lain untuk membentuk kerajaan akan bermula selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif parti, sambil menambah bahawa beliau akan menunggu ECT untuk mengesahkan keputusan sebelum meneruskan langkah seterusnya.

Sementara itu, pemimpin Parti Rakyat dan calon perdana menteri Natthaphong Ruenpanyawut menegaskan semula bahawa partinya bersedia untuk menjadi pembangkang jika Bhumjaithai membentuk kerajaan dan tidak akan menyokong calon perdana menteri daripada Bhumjaithai.

Pemimpin Pheu Thai dan calon perdana menteri Julapun Amornvivat berkata parti itu bersedia untuk berkhidmat kepada orang awam dengan sebaik mungkin, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

Di bawah undang-undang Thailand, 400 daripada 500 kerusi di Dewan Perwakilan dipilih melalui kawasan pilihan raya di seluruh negara, dengan baki 100 kerusi lagi diperuntukkan kepada parti politik secara berkadar.

Keputusan pilihan raya mesti disahkan oleh ECT dalam tempoh 60 hari, atau selewat-lewatnya pada 9 April, manakala parlimen yang baru dipilih dikehendaki bersidang dalam tempoh 15 hari selepas keputusan disahkan secara rasmi.

Untuk dipilih sebagai perdana menteri, seseorang calon mesti memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 251 undi dalam Dewan Perwakilan yang dianggotai oleh 500 ahli.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan