DUNIA > BERITA

Tom Cruise Dilaporkan Tinggalkan Kediaman Mewah Di London Kerana Bimbang Keselamatan

03/02/2026 06:40 PM

GENEVA, 3 Feb (Bernama-Anadolu) -- Bintang Hollywood, Tom Cruise dilaporkan telah berpindah keluar dari kediaman mewahnya di London susulan kebimbangan mengenai keselamatan yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi.

The Daily Express melaporkan pada Isnin bahawa pelakon berusia 63 tahun itu memutuskan untuk meninggalkan kawasan Knightsbridge berikutan kejadian rompakan ganas pada waktu siang di Bucherer Rolex Boutique yang terletak berhampiran.

Dalam kejadian itu, sekumpulan geng motosikal dilaporkan tiba dan menggunakan parang untuk menghalang kakitangan keselamatan, selain memecahkan kaca kalis pecah menggunakan tukul dan peralatan khas. Kira-kira 20 jam tangan mewah dicuri dalam serbuan yang hanya mengambil masa tiga minit sebelum suspek melarikan diri.

Sumber yang dipetik oleh Daily Express berkata insiden itu mengukuhkan kepercayaan Cruise bahawa keselamatan di kawasan tersebut telah merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Laporan itu menambah bahawa kakitangan dilihat mengeluarkan kotak dari kediaman tersebut sejurus selepas pemergian mendadak pelakon itu.

Knightsbridge dan kawasan berdekatan, Belgravia, sering berhadapan dengan masalah jenayah berkaitan motosikal (moped). Data Polis Metropolitan menunjukkan sebanyak 295 jenayah direkodkan di Knightsbridge dan Belgravia pada November 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan