DUNIA > BERITA

Dari Negara Pascakonflik, Korea Selatan Bangkit Sebagai Kuasa Teknologi Pertahanan

30/01/2026 12:24 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Lebih tujuh dekad lalu, Korea Selatan bangkit daripada Perang Korea dalam keadaan infrastruktur musnah, wilayah terbahagi dan ekonomi yang rapuh.

Hari ini, Korea Selatan berada di kedudukan antara peneraju dunia dalam bidang teknologi, pembuatan ketepatan dan industri pertahanan -- satu transformasi yang menawarkan pengajaran berharga buat Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang berhasrat mencapai status negara maju.

Pengalaman wartawan asing yang menyertai Program Jemputan Wartawan Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan (MCST) baru-baru ini, memberikan gambaran tentang bagaimana negara itu membina kekuatan nasional secara holistik, dengan mengintegrasikan dasar awam, keselamatan, industri serta pembangunan modal insan ke dalam satu ekosistem yang koheren.

Transformasi Korea Selatan tidak dapat dipisahkan daripada realiti geopolitiknya. Lawatan ke Zon Bebas Tentera (DMZ), antara sempadan paling dikawal ketat di dunia, menjadi peringatan jelas bahawa keamanan yang dinikmati hari ini dibentuk oleh konflik yang tidak pernah berakhir secara rasmi.

Perang Korea berakhir dengan gencatan senjata bukannya perjanjian damai, menjadikan keselamatan negara satu keperluan asas dan bukannya sekadar pilihan dasar budi bicara.

Pengalaman Korea Selatan membuktikan bahawa keupayaan pertahanan yang boleh dipercayai bukan sekadar persediaan menghadapi peperangan, sebaliknya bertujuan mencegah konflik, menjamin kestabilan serta menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang.

Di Korea Selatan, keselamatan dan pembangunan bergerak seiring. Sesi libat urus bersama Institut Analisis Pertahanan Korea (KIDA) menonjolkan bagaimana perancangan pertahanan negara disokong oleh penyelidikan dasar, analisis strategik dan kesinambungan institusi merentasi pentadbiran politik.

Antara manifestasi jelas kejayaan Korea Selatan ialah pangkalan industri pertahanannya. Lawatan ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon menggambarkan bagaimana negara itu beralih daripada penerima teknologi kepada pengeluar dan pengeksport sistem pertahanan berteknologi tinggi.

Di dalam hangar KAI, sebuah pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M yang ditempah oleh Malaysia sedang dalam proses pemasangan. Bendera Malaysia pula tertera megah pada pesawat itu melambangkan kerjasama pertahanan dua hala antara kedua-dua negara.

Korea Selatan tidak membangunkan keupayaan ini dalam tempoh singkat. Prosesnya bermula dengan pemindahan teknologi, pelaburan besar dalam melatih jurutera tempatan serta perkongsian strategik dengan pemain global. Selama beberapa dekad, pendekatan ini melahirkan ekosistem aeroangkasa yang berdikari merangkumi reka bentuk, pembuatan, penyelenggaraan dan inovasi berterusan.

Malaysia masih berada pada peringkat awal perjalanan ini. Oleh itu, perolehan platform seperti FA-50M perlu dilihat bukan sekadar perolehan pertahanan, tetapi sebagai peluang strategik untuk memperkukuh industri tempatan, membangunkan kepakaran dan mewujudkan limpahan industri bernilai tinggi.

Dalam domain maritim pula, Hanwha Ocean dan HD Hyundai Heavy Industries menunjukkan bagaimana industri pertahanan boleh berfungsi sebagai enjin ekonomi negara. Limbungan kapal berskala besar ini bukan sahaja menghasilkan kapal perang dan kapal selam, malah menyokong puluhan ribu pekerjaan berkemahiran tinggi serta ekosistem vendor domestik yang kukuh.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor ini. Cabarannya terletak pada penyelarasan keperluan pertahanan, dasar perindustrian dan pembangunan tenaga kerja di bawah kerangka nasional yang jelas dan koheren.

Lawatan seterusnya ke Hyundai Rotem dan Hanwha Aerospace di Changwon turut memperlihatkan bagaimana Korea Selatan membangunkan keupayaan sistem darat dari sifar. Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam pembuatan kereta kebal, negara itu kini menjadi pengeksport utama platform seperti K2 Black Panther dan K9 Thunder yang digunakan di pelbagai negara.

Pencapaian ini didorong oleh pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta kesediaan untuk bersaing di pasaran antarabangsa. Bagi Malaysia, pengajaran utama ialah keperluan untuk beralih daripada pendekatan jangka pendek kepada strategi industri pertahanan yang berpaksikan inovasi dan berorientasikan eksport.

Di sebalik kemajuan teknologi, dimensi kemanusiaan kekal sebagai teras. Di DMZ, kisah keluarga yang terpisah akibat perang menekankan bahawa keselamatan negara pada akhirnya wujud untuk melindungi rakyat dan menjamin masa depan generasi akan datang.

Sementara itu, di kilang dan limbungan kapal, jurutera serta pekerja melihat peranan mereka sebagai sumbangan kepada daya tahan negara, bukan sekadar sumber pendapatan.

Budaya sedemikian tidak muncul dengan sendirinya. Ia dibentuk melalui naratif nasional yang jelas, pengiktirafan terhadap kepakaran tempatan serta keyakinan bahawa sumbangan individu mempunyai nilai strategik kepada negara.

Dalam hal ini, Malaysia turut berdepan cabaran untuk memupuk budaya ini, khususnya dalam sektor teknologi tinggi. Isu seperti penghijrahan bakat, kebergantungan kepada import dan skala industri yang terhad memerlukan penyelesaian struktur berbanding inisiatif terpencil.

Bagaimanapun, pengalaman Korea Selatan menunjukkan bahawa transformasi adalah sesuatu yang boleh dicapai. Negara itu menunjukkan bahawa legasi pascakonflik tidak semestinya menjadi beban kekal, sebaliknya boleh menjadi pemangkin untuk membina negara yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keupayaan pertahanan dan teknologi bukan lagi pilihan strategik, sebaliknya satu keperluan nasional. Korea Selatan telah menempuh laluan ini dengan penuh disiplin dan visi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan