DUNIA > BERITA

Netflix Capai 325 Juta Pelanggan Berbayar

21/01/2026 05:06 PM

WASHINGTON, 21 Jan (Bernama-dpa) -- Perkhidmatan penstriman Amerika Syarikat (AS) Netflix telah melepasi 325 juta pelanggan di seluruh dunia, kata syarikat itu pada Selasa dalam laporan terbaharu mengenai angka pelanggan dalam setahun, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Syarikat itu menutup 2024 dengan 301.6 juta pelanggan berbayar. 

Pada suku tahun lepas, Netflix meningkatkan hasil sebanyak 17.6 peratus tahun ke tahun kepada lebih AS$12 bilion. Keuntungan bersih mencecah AS$2.42 bilion iaitu kenaikan hampir 29 peratus daripada tahun sebelumnya.

Netflix kini dalam usaha mengambil alih studio dan syarikat penstriman utama Hollywood, Warner Bros Discovery.

Bagi membiayai perjanjian kira-kira AS$83 bilion itu, menurut Netflix, pihaknya akan menangguhkan pembelian balik saham. 

Perkara itu dilaporkan bersama laporan pendapatan syarikat itu.

Syarikat AS sering menggunakan kaedah pembelian balik untuk membantu menyokong harga saham mereka.

Saham Netflix jatuh hingga lima peratus dalam dagangan selepas waktu kerja. Sejak rancangan pengambilalihan Warner Bros dilaporkan, saham syarikat itu telah kehilangan sekitar 30 peratus daripada nilainya.

Netflix kemudian membatalkan rancangan untuk memasukkan saham dalam urus niaga berkenaan dan memaklumkan akan membayar harga pembelian secara tunai.

Syarikat gergasi penstriman itu kini bersaing dengan Paramount, yang sedang berusaha untuk membeli Warner Bros Discovery secara langsung dalam perjanjian bernilai lebih AS$100 bilion termasuk rangkaian televisyen seperti CNN.

-- BERNAMA-dpa 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan