NEW DELHI, 8 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang membincangkan pengukuhan kerjasama perdagangan, teknologi, dan pelaburan dengan India semasa lawatan Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo, yang bermula Ahad lepas.
Pada Khamis, Jagdeep bertemu dengan Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri India, Jitin Prasada.
"Bertukar pandangan mengenai pengukuhan rantaian perdagangan, kerjasama perindustrian, dan peluang pelaburan. Menegaskan semula komitmen untuk memperdalam penglibatan ekonomi India-Malaysia menerusi dialog berterusan," kata Prasada dalam satu hantaran di X.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu memulakan lawatannya dari 4 hingga 13 Jan ke India di Bengaluru, dalam negeri Karnataka di selatan negara itu.
Sepanjang tempoh tersebut, Jagdeep bertemu Timbalan Ketua Menteri Karnataka D.K. Shivakumar, Menteri Sains dan Teknologi N.S. Boseraju, serta Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat Priyank Kharge.
Perbincangan tertumpu kepada bidang kerjasama berpotensi dalam sektor teknologi, peluang pendidikan, taman sains, dan pembangunan infrastruktur.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengenal pasti peluang kolaborasi tertumpu dalam bidang semikonduktor, teknologi mendalam (deeptech), aplikasi angkasa, bandar pintar serta pemantapan kemahiran, dan memajukannya melalui libat urus berterusan demi manfaat jangka panjang," menurut Jabatan Elektronik, Teknologi Maklumat dan Bioteknologi Karnataka dalam satu hantaran media sosial.
Jagdeep turut melawat kampus Universiti Bandaraya Dr Manmohan Singh Bengaluru dan Kolej Kejuruteraan Sri Sairam sepanjang berada di ibu negeri Karnataka itu.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu akan berada di Amritsar, dalam negeri Punjab, selama lima hari untuk lawatan peribadi bermula Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial