JAKARTA, 7 Jan (Bernama) -- Kerajaan Indonesia mengarahkan pembinaan pusat penempatan sementara untuk menempatkan mangsa terjejas banjir dan tanah runtuh di Nagari Koto Tinggi, Kabupaten Lima Puluh Kota, Sumatera Barat dipercepatkan dengan penekanan terhadap kualiti, keselamatan serta akses kepada kemudahan asas.
Setiausaha Agung Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Rustian berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk memastikan komuniti terjejas dapat memperoleh akses segera kepada kediaman sementara yang selesa dan sesuai didiami.
“Selain itu, kemudahan sanitasi, bekalan air bersih, rangkaian elektrik serta akses kepada perkhidmatan asas merupakan keutamaan utama dalam pembinaan pusat penempatan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut data BNPB, setakat ini Kabupaten Lima Puluh Kota merekodkan seramai 784 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera Barat dan Sumatera Utara pada akhir November lalu.
Bencana itu menjejaskan 16 bandar dan kabupaten di Sumatera Barat serta mengorbankan 264 nyawa, selain menyebabkan lebih 10,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Rustian berkata di bawah cadangan Fasa I, sebanyak 12 berek yang terdiri daripada 60 unit sedang dibina di Nagari Koto Tinggi, Daerah Gunung Omeh.
“Daripada jumlah itu, 20 unit telah mencapai tahap siap 50 peratus dan dijangka boleh diduduki dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan aktiviti sosial dan kehidupan harian komuniti terjejas kembali normal,” katanya.
Beliau berharap pembinaan pusat penempatan sementara itu dapat disiapkan tidak lama lagi, sekali gus memberi rasa selamat dan selesa kepada penduduk terjejas, seiring dengan usaha pemulihan dan pembinaan semula kediaman kekal yang sedang dijalankan.
“Kerajaan pusat menerusi BNPB akan terus memantau keseluruhan proses pemulihan pascabencana, termasuk memastikan pencepatan pembinaan pusat penempatan sementara dilaksanakan mengikut jadual dan sasaran, selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial