DUNIA > BERITA

Korea Selatan Sasar Kemajuan Rundingan Sempadan Maritim, Struktur Keluli Dengan China

06/01/2026 09:30 PM

SEOUL, 6 Jan (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan berharap untuk melihat kemajuan dalam rundingan dengan China berhubung isu maritim yang tertangguh di Laut Kuning, termasuk persempadanan laut dan struktur keluli yang dibina oleh Beijing di kawasan perairan yang bertindih, kata pegawai Kementerian Luar Korea Selatan pada Selasa.

Menurut Agensi Berita Yonhap, ulasan itu dibuat selepas kedua-dua negara jiran Asia berkenaan bersetuju untuk menyambung semula rundingan peringkat naib menteri mengenai persempadanan maritim dalam tahun ini, susulan pertemuan antara Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Presiden China Xi Jinping pada Isnin.

Langkah itu menandakan penyambungan semula dialog mengenai persempadanan laut selepas terhenti selama tujuh tahun. Pada 2014, Seoul dan Beijing bersetuju untuk mengadakan rundingan tahunan peringkat naib menteri serta mesyuarat susulan peringkat kerja secara tetap, namun gagal melaksanakannya berikutan kesensitifan isu itu.

Rundingan peringkat naib menteri terakhir telah diadakan pada 2019, iaitu empat tahun selepas pusingan sebelumnya.

"Rundingan peringkat naib menteri ini akan memberi tumpuan kepada persempadanan perbatasan maritim dan bertujuan untuk memberi momentum kepada proses itu," kata seorang pegawai kementerian kepada pemberita.

"Kedua-dua pihak berkongsi pandangan bahawa Laut Kuning seharusnya menjadi laut yang aman dan kewujudan bersama, bukannya kawasan konfrontasi dan konflik, dan ini amat signifikan bagi hubungan Korea Selatan-China," katanya.

Kedua-dua pihak masih mempunyai perbezaan kedudukan yang ketara mengenai persempadanan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), iaitu zon laut di mana sesebuah negara mempunyai hak khas berkaitan penerokaan dan penggunaan sumber marin.

Seoul mengekalkan pendirian bahawa sempadan EEZ harus ditentukan dengan melukis garisan tengah, manakala Beijing berhujah ia harus dilukis mengikut kadar panjang pantai dan populasi penduduk di sepanjang kawasan berkenaan.

EEZ merangkumi sehingga 200 batu nautika dari garis pantai.

Penyambungan semula rundingan peringkat tinggi EEZ ini menambah keyakinan terhadap prospek dialog berasingan yang sedang berjalan mengenai struktur keluli China yang dibina di Zon Maritim Sementara (PMZ) - isu yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beijing telah memasang beberapa menara keluli di PMZ, kawasan di mana EEZ kedua-dua negara bertindih, dengan mendakwa ia adalah ladang ternakan ikan dan kemudahan pengurusan.

Bagaimanapun, Seoul menyuarakan kebimbangan bahawa China mungkin sedang meletakkan asas bagi tuntutan wilayah ke atas perairan itu pada masa hadapan, serupa dengan pembinaan pulau buatan di Laut China Selatan yang sedang mengalami pertikaian dengan negara-negara jiran.

"Walaupun rundingan persempadanan ini tidak terpisah sepenuhnya daripada isu struktur keluli, ia berjalan di saluran yang berbeza, dan (rundingan mengenai struktur keluli) akan diteruskan melalui saluran sedia ada," kata pegawai itu.

"Mengenai isu struktur keluli, kami melihat terdapat ruang untuk kemajuan melalui mesyuarat peringkat kerja yang telah diadakan setakat ini," katanya.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan