DUNIA > BERITA

Konvoi Trans ASEAN MADANI Perkukuh Kerjasama Serantau, Promosi Tahun Melawat Malaysia 2026

05/01/2026 02:01 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 5 Jan (Bernama) -- Konvoi Trans ASEAN MADANI yang merentasi tiga negara ASEAN dijangka merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dalam usaha membantu sektor pelancongan negara mencapai sasaran 47 juta pelawat antarabangsa tahun ini.

Wakil penganjur Konvoi Trans ASEAN MADANI 2026, Datuk Sahariman Hamdan, berkata program itu juga bertujuan mengukuhkan persahabatan dan kerjasama serantau dalam kalangan negara ASEAN, selain mempromosikan kempen TMM 2026 kepada masyarakat di rantau ini.

“Program ini bertujuan memperkenalkan Malaysia kepada negara-negara yang dilalui, di samping mengeratkan serta menjalin hubungan bagi memperkukuh persahabatan berteraskan semangat kebersamaan sebagai satu rantau ASEAN,” katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Konvoi yang merentasi Thailand, Laos dan Kemboja dari 1 hingga 16 Jan 2026 itu dianjurkan bersama oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21, Malaysia (PAMAJA) dan Koperasi Perumahan Awam Malaysia (Kopama) Berhad, selaras dengan inisiatif TMM 2026 di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah menyempurnakan pelepasan Konvoi Trans ASEAN MADANI di Kompleks Kedutaan Malaysia di sini.

Beliau berkata program itu bukan sekadar perjalanan merentas sempadan, sebaliknya merupakan inisiatif diplomasi rakyat yang strategik, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan semangat kerjasama serantau ASEAN.

“Inisiatif seperti ini amat penting bagi menyokong agenda nasional ke arah pembangunan yang inklusif dan mampan, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dari sudut sosial, budaya dan persefahaman serantau,” kata Wan Zaidi. 

Sahariman, yang juga Presiden PAMAJA, berkata dari Thailand, konvoi yang disertai 14 kenderaan dan 65 peserta dari Malaysia itu akan meneruskan perjalanan ke Laos dan Kemboja.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan