DUNIA > BERITA

Kemboja Sertai Jiran Mekong Raikan Sambutan Tahun Baharu

01/01/2026 03:27 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 1 Jan (Bernama) -- Beribu-ribu pengunjung menyertai sambutan Tahun Baharu di ibu kota negara-negara Wilayah Kecil Mekong (GMS), selepas berjaya mengharungi pelbagai rintangan daripada bencana taufan sehinggalah kepada ketidaktentuan politik pada tahun lepas.

Di seluruh Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam, lebih 300 juta penduduk menyambut kedatangan tahun baharu dengan harapan agar 2026 membawa sinar harapan dan kemakmuran.

Di Vientiane, ibu negara Laos, rakyatnya bersorak kegembiraan di bawah percikan bunga api, mengetepikan seketika kesukaran akibat bencana cuaca seperti banjir dan taufan, serta kemelut ekonomi.

"Walaupun berdepan pelbagai kesukaran dan cabaran, rakyat Laos tetap bersatu padu dan telah mencapai keputusan yang memberangsangkan, termasuk kestabilan politik yang mampan, keamanan serta ketenteraman sosial, selain pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan," kata Presiden Laos Thongloun Sisoulith dalam perutusan Tahun Baharunya.

Sementara itu di Kemboja, suasana suram yang menyelubungi negara itu selama beberapa bulan berubah menjadi sambutan yang meriah ketika rakyatnya mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2025 yang mencabar tepat pada detik 12 tengah malam.

Terdapat alasan kukuh di sebalik kegembiraan mereka. Seramai 18 tentera Kemboja yang ditahan selama hampir 155 hari oleh tentera Thailand telah dibebaskan pada pagi Rabu susulan perjanjian gencatan senjata baharu pada 27 Disember, yang sekali gus menamatkan pertempuran di perbatasan dengan jirannya itu, buat masa ini.

Di ibu negara Phnom Penh, rakyat Kemboja membanjiri kawasan tumpuan Chaktomuk Walk Street yang kini menjadi lokasi sambutan selama tiga hari.

Rakyat negara itu mengharapkan permulaan baharu selepas pertempuran di sempadan yang berlarutan dengan Thailand berakhir bulan lepas.

"Apa bakal berlaku pada 2026 bergantung kepada usaha mengukuhkan keamanan yang berkekalan dengan Thailand bagi memulihkan aliran rentas sempadan serta memacu reformasi struktur domestik untuk mempelbagaikan ekonomi dan membina daya tahan.

Pemulihan yang mampan akan mengukuhkan peranan Kemboja sebagai pemain yang tangkas dalam seni bina serantau yang kompleks," kata Ketua Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Kemboja Dr Kin Phea kepada Bernama.

Suasana di Vietnam pula berbeza. Dari Bandar Ho Chi Minh yang makmur di selatan hingga ke ibu kota Hanoi yang rancak ekonominya, rakyat Vietnam sedang mengecap kegembiraan.

Keriangan mereka bersebab memandangkan jumlah perolehan import-eksport Vietnam melepasi RM3.7 trilion (US$900 bilion) buat julung kalinya pada 2025, sekali gus meletakkan negara Asia Tenggara itu sebagai antara 25 kuasa dagang global utama.

Kejayaan merangkul pingat emas bola sepak Sukan SEA selepas menewaskan Thailand 3-2 dalam perlawanan akhir lelaki di Bangkok pada Disember lepas turut menjadi satu lagi pencapaian yang diraikan oleh negara peminat tegar bola sepak itu.

Di Myanmar, sambutan Tahun Baharu turut diadakan dengan penuh meriah, namun dibayangi ketidaktentuan politik dan cabaran ekonomi.

Selepas hampir lima tahun, kerajaan diterajui tentera di bawah pimpinan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengadakan pilihan raya pertamanya pada 28 Disember.

Fasa kedua dijadualkan pada 11 Januari, manakala pengundian akhir pada 25 Januari akan menentukan hala tuju politik negara itu.

Konsert Ambang Tahun Baharu telah berlangsung di Stadium Wunna Theikdi di ibu negara Nay Pyi Taw sejak 28 Disember, manakala People’s Square di Yangon sesak dengan pengunjung untuk acara mengira detik ketibaan tahun baharu, lapor media kerajaan The Global New Light of Myanmar.

"Pada 2026, kita mesti mengambil pengajaran daripada pengalaman lepas, berpaksikan kecintaan kepada negara dan sesama rakyat, menjunjung semangat perpaduan, serta melangkah ke hadapan dengan persefahaman dan kepercayaan untuk berjaya mengatasi cabaran," kata Aung Hlaing, menurut laporan media berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan